KOMITMEN STAF PBM UNTUK MENJALANI GAYA HIDUP SIHAT DAN IDEAL
PEKAN, 15 Ogos 2024 – Salah satu langkah untuk mengurangkan risiko kadar kemalangan dan penyakit di tempat kerja adalah dengan memberikan kesedaran yang meluas dan perpanjangan. Demikian itu, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JK KKP), Pusat Bahasa Moden (PBM) telah menganjurkan pelbagai aktiviti menarik, salah satunya adalah sesi seminar pencerahan tentang kepentingan makanan padat nutrisi untuk gaya hidup yang sihat.
Bertemakan ‘Merdeka daripada Penyakit’, seminar ini disampaikan oleh pegawai perubatan daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Dr. Mohd Hafidzudin Abd Razak. Seminar ini memberi tumpuan cara menangani isu obesiti, iaitu masalah kesihatan utama dalam kalangan rakyat Malaysia.
Penceramah menekankan kepentingan mengawal selia dan merancang pemakanan seimbang untuk memerangi obesiti. Selain itu, beliau turut menekankan kesan buruk obesiti kepada kesihatan fizikal dan mental disamping berkongsi pandangan tentang ‘the brain-gut axis’ - hubungan penting antara kesihatan pencernaan dan kesejahteraan mental.
Selaras dengan fungsi jawatankuasa ini yang berperanan menggalakkan semua staf untuk mengamalkan budaya kerja yang sihat dan sejahtera, dalam ceramah tersebut, penceramah juga menggalakkan para peserta untuk memasukkan rutin senaman dalam kehidupan seharian mereka bagi mengekalkan kesihatan tubuh yang optimum. Saranan ini diterima baik oleh para peserta kerana mereka turut mengakui bahawa sentiasa berada dalam persekitaran tempat kerja yang pasif, iaitu kebanyakan masa dihabiskan dengan hanya duduk menghadap komputer dalam jangka masa yang lama tanpa sebarang pergerakan. Justeru penceramah telah menjalankan dua latihan amali mudah untuk mengukur kadar kecergasan fizikal yang mana telah membuka mata setiap peserta tentang kepentingan mengutamakan kesihatan dalam aktiviti kehidupan seharian.
Sesi diakhiri dengan Dr. Hafidzuddin menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma, yang seterusnya menekankan kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Timbalan Dekan Akademik PBM, Dr Fatimah Ali menekankan kepentingan gaya hidup sihat dalam kalangan staf bagi meningkatkan produktiviti di tempat kerja. Beliau menegaskan ia adalah kunci untuk memastikan kakitangan dapat menjalankan peranan profesional secara optimum sekaligus menyumbang kepada kecekapan dan kepuasan di tempat kerja secara keseluruhan.
Disediakan oleh: Hamizah binti Zahari, Farah Hanan binti Aminallah & Siti Ainun Jariyah binti Hassan
Foto oleh: Najjahul Huda Hassan