KELAB K-CHINGU BAWA PELAJAR TEROKAI KEAJAIBAN KOREA SECARA MAYA MELALUI PROGRAM “DISCOVER KOREAN: LEARN AND PLAY”
14 Mac 2026 – Kelab K-Chingu telah berjaya menganjurkan program "Discover Korean: Learn & Play" secara dalam talian pada hari Sabtu yang lalu. Program yang berlangsung dari jam 10:00 pagi sehingga 12:55 tengah hari itu bermatlamat untuk memberi pendedahan interaktif mengenai keunikan bahasa dan budaya Korea kepada komuniti pelajar.
Sesi pertama dimulakan dengan slot pengenalan bahasa dan budaya Korea yang disampaikan oleh ahli Kelab K-Chingu, Nasriah Aqilah, yang juga merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Perkongsian yang dijalankan secara santai dan berinformasi itu merangkumi pelbagai aspek tradisi termasuk pengenalan pakaian tradisional (Hanbok), kepelbagaian makanan tradisi, serta perayaan-perayaan utama di Korea. Bagi mengukuhkan pemahaman peserta, sesi ini diakhiri dengan kuiz trivia yang menarik melalui platform Blooket.
Program diteruskan dengan sesi kedua yang memfokuskan kepada pengenalan huruf-huruf asas dalam bahasa Korea atau Hangul. Sesi ini dikendalikan oleh guru bahasa Korea dari Pusat Bahasa Moden (PBM) yang juga merupakan penasihat Kelab K-Chingu, Zatul Amrah Mohammad Nazri. Dengan kaedah penyampaian yang mudah difahami, beliau berjaya menarik minat para peserta untuk mendalami keunikan sistem tulisan Korea sebagai langkah awal dalam penguasaan bahasa tersebut. Sepertimana sesi pertama, slot ini turut diakhiri dengan sesi kuiz bagi menguji tahap kefahaman peserta terhadap topik yang dibincangkan.
Majlis diakhiri dengan pengumuman pemenang bagi kedua-dua sesi kuiz sebagai tanda penghargaan atas penglibatan mereka. Para peserta telah memberikan maklum balas yang sangat memberangsangkan sepanjang program berlangsung. Melalui inisiatif ini, adalah diharapkan agar program tersebut dapat menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus mempelajari bahasa dan budaya Korea, sekali gus meluaskan perspektif mereka terhadap kepelbagaian global.
Syabas diucapkan kepada Kelab K-Chingu atas inisiatif dan kejayaan mengendalikan program yang penuh bermanfaat ini. Adalah menjadi harapan agar usaha murni ini dapat diteruskan secara konsisten pada masa hadapan bagi melahirkan graduan yang kompeten dan berpengetahuan luas dalam aspek silang budaya.
Disediakan oleh: Mahzaton Aqma Abu Talip & Zatul Amrah Mohammad Nazri