KELAB BAHASA JERMAN DAN KOREA BUAT PENAMPILAN SULUNG DI LANGUAGE AND CULTURE CARNIVAL
GAMBANG, 10 Januari 2026 – Language and Culture Carnival (LCC) 2026 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatat sejarah tersendiri apabila dua kelab bahasa baharu, iaitu Kelab Bahasa Jerman “Der Junge Adler” dan Kelab Bahasa Korea “K-Chingu”, menyertai karnival ini buat kali pertama.
Penyertaan sulung kedua-dua kelab ini menambah kepelbagaian bahasa dan budaya yang dipersembahkan dalam karnival bertemakan “Global Voices: Languages Unite”. Kehadiran kelab Bahasa Jerman dan Korea bukan sahaja memeriahkan suasana karnival, malah membuka ruang kepada warga kampus untuk mengenali bahasa serta budaya Eropah dan Asia Timur dengan lebih dekat.
Kelab Bahasa Jerman memilih tema bola sepak sebagai medium utama untuk memperkenalkan bahasa dan budaya Jerman. Menerusi aktiviti berasaskan sukan popular tersebut, pengunjung berpeluang mempelajari kosa kata asas bahasa Jerman, mengenali kelab bola sepak terkenal serta memahami peranan bola sepak sebagai sebahagian penting dalam budaya masyarakat Jerman.
Penyertaan ini menjadi langkah awal kelab tersebut dalam mempromosikan bahasa Jerman sebagai bahasa antarabangsa yang penting dalam bidang akademik dan kerjaya global.
Berbeza pula dengan Kelab Bahasa Korea yang mengetengahkan tema tradisional Korea. Kelab ini memfokuskan pengenalan kepada bahasa, warisan budaya dan makanan Korea melalui elemen tradisi seperti pakaian, adat dan nilai budaya.
Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta untuk menghargai keindahan budaya Korea. Aktiviti yang dijalankan memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari frasa asas bahasa Korea di samping mengenali adat dan budaya masyarakat Korea.
Penglibatan kedua-dua kelab baharu ini mencerminkan perkembangan positif pembelajaran bahasa di UMPSA serta sokongan universiti terhadap inisiatif pelajar dalam memperluaskan pendedahan bahasa dan budaya.
Diharapkan penglibatan “Der Junge Adler” dan “K-Chingu” dalam LCC UMPSA 2026 menjadi permulaan kepada penyertaan aktif dan berterusan dalam program-program berteraskan bahasa dan budaya pada masa akan datang.
Disediakan oleh: Amir Haikal Imran & Zatul Amrah Mohammad Nazri