Official Website    

GLOBAL CLASSROOM PERKASA KEFAHAMAN BUDAYA CINA

GAMBANG, 10 April 2025 – Dalam usaha memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar melalui pendekatan budaya, Unit Bahasa Mandarin dari Jabatan Bahasa Asing, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan satu sesi Global Classroom yang bertemakan “Adab Pemakanan Cina”. Global Classroom ini melibatkan enam puluh orang pelajar Asasi semester III sesi 2024/2025 yang mengikuti kursus Bahasa Mandarin 2 (ULM1123) dan dua orang pengajar kursus iaitu Puan Yong Ying Mei dan Cik Leong Hui Theng. 

Sesi Interaktif Bersama Pengajar Jemputan dari Confucius Institute 

Tenaga pengajar jemputan bagi Global Classroom ini adalah Cikgu Ma Shi Yao (Cikgu Ma) dari Confucius Institute UMPSA. Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai adat resam serta etika makan dalam masyarakat Cina. Antara pengisian menarik termasuk penerangan mengenai struktur tempat duduk dalam jamuan rasmi, tatacara menggunakan penyepit dan pengenalan kepada lapan jenis masakan utama dari negeri berbeza di China yang mencerminkan kekayaan budaya kulinari negara tersebut. Konsep tradisional "民以食为天" (makanan adalah keperluan pertama rakyat) turut diketengahkan oleh Cikgu Ma bagi memperkukuh kefahaman pelajar tentang peranan makanan dalam budaya Cina. 

Menurut seorang pelajar dari kelas Asasi, Muhammad Aqil Bin Tarmizi, sesi ini telah membuka perspektif baharu. “Saya tidak pernah tahu bahawa kedudukan seseorang di meja makan boleh mencerminkan tahap penghormatan. Global Classroom ini menyedarkan saya bahawa budaya Cina amat menitikberatkan nilai sopan santun dalam setiap perincian kehidupan,” katanya penuh kagum. 

Afeef Hamizan Bin Mohd Huzaizi pula tertarik dengan kepelbagaian hidangan serantau. “Apabila Cikgu Ma memperkenal lapan jenis masakan dari negeri berbeza di seluruh China, saya teringat kepada Malaysia yang juga kaya dengan makanan mengikut negeri seperti Laksa Pahang, Nasi Dagang di negeri Terengganu dan Nasi Kandar di negeri Pulau Pinang. Ternyata makanan mampu menceritakan kisah dan identiti sesebuah masyarakat.” 

Akmal Hakimi Bin Ahmad Mukhlis melihat sesi ini sebagai medium untuk membina persefahaman antara budaya. “Saya sangat tertarik dengan cara masyarakat Cina menzahirkan rasa hormat melalui etika makan. Ia membuatkan saya lebih terbuka terhadap budaya lain dan menghormati nilai sejagat yang dikongsi bersama.”  

Bagi Kishory Ann A/P Santhanadas, pengalaman ini membangkitkan rasa ingin tahu yang lebih mendalam. “Sesi ini bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membina rasa empati terhadap keseimbangan antara adat dan kasih sayang dalam budaya mereka. Saya rasa lebih bersemangat untuk mendalami Bahasa Mandarin selepas ini.” 

Satu kuiz interaktif telah dijalankan di akhir sesi bagi meningkatkan keterlibatan dan pengukuhan para pelajar terhadap kandungan yang disampaikan. Soalan-soalan kuiz meliputi topik yang dibincangkan. Seramai enam pelajar telah diumumkan sebagai pemenang dan menerima hadiah sebagai tanda penghargaan. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan semangat pelajar, malah menyerlahkan keberkesanan pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. 

Bahasa Sebagai Jambatan Budaya 

Program ini jelas menunjukkan keberkesanan pendekatan Global Classroom dalam menjadikan pengajaran Bahasa Mandarin lebih bermakna. Dengan menghubungkan pelajar kepada budaya masyarakat penutur bahasa tersebut, sesi ini mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih imersif dan menyeluruh.  

Sesi ini bukan sahaja memperkaya ilmu pelajar, tetapi turut menyemai minat untuk terus meneroka keindahan bahasa asing sebagai warisan yang sarat nilai. Semoga sesi seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang, menjadi platform bagi generasi pelajar untuk terus meneroka dunia melalui bahasa dan budaya yang pelbagai. 

 

Disediakan oleh: Leong Hui Teng, Yong Ying Mei