"SEPERTI API DALAM SEKAM, KECIL-KECIL JADI BARA": PEMERIKSAAN KESELAMATAN DAN KEBAKARAN PUSAT BAHASA MODEN OLEH JABATAN BOMBA NEGERI PAHANG
PEKAN, 23 April 2025 – Pusat Bahasa Moden (PBM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima kunjungan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang untuk memeriksa dan menguji peralatan keselamatan kebakaran di bangunan PBM. Pemeriksaan ini bertujuan untuk pembaharuan Perakuan Bomba (FC) yang dilakukan secara tahunan.
Kepentingan pemeriksaan ini dijalankan antaranya untuk memastikan semua peralatan seperti alat pemadam api, pemercik bomba, pintu kecemasan, dan sistem penggera kebakaran berfungsi dengan baik. Ini sangat penting untuk keselamatan penghuni bangunan, terutamanya dalam situasi kecemasan apabila kebakaran berlaku. Selain itu, pembaharuan Perakuan Bomba (FC) yang diperoleh daripada pemeriksaan ini membuktikan bahawa premis mematuhi undang-undang keselamatan kebakaran yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Pematuhan ini mengurangkan risiko tindakan undang-undang terhadap pemilik premis jika berlaku kecemasan.
Menurut Kamal Hafizal Kamaruddin, jurutera dari Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), sebagai pemilik premis, adalah sangat penting untuk memastikan semua staf memahami dan mahir dengan cara penggunaan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api, sistem penggera kebakaran, dan pemercik bomba. Hal ini amat penting, terutamanya apabila berlaku kecemasan sebenar. Pengetahuan ini bukan sahaja membantu staf untuk bertindak pantas dalam menguruskan kebakaran kecil sebelum terus merebak, dan juga dapat mengurangkan risiko kecederaan dan kerosakan harta benda.
Langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan ini bukan sahaja penting bagi memastikan keselamatan penghuni, tetapi juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) khususnya SDG 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan. Dengan memastikan keselamatan bangunan melalui pemeriksaan dan pematuhan kepada peraturan keselamatan kebakaran, tindakan ini turut menyumbang kepada usaha mewujudkan persekitaran yang selamat, sihat, dan lestari untuk komuniti universiti. Selain itu, usaha ini menunjukkan komitmen universiti dalam menyokong matlamat pembangunan lestari dengan memperbaiki aspek keselamatan dan kesejahteraan dalam kehidupan seharian penghuni dan komuniti di dalam kampus.
Pemeriksaan ini juga diiringi oleh wakil staf daripada Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Pusat Pembangunan & Teknologi Maklumat (DiTec) & Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. Akhir sekali, marilah kita menghayati peribahasa "seperti api dalam sekam, kecil-kecil jadi bara" yang sangat relevan dalam konteks keselamatan kebakaran. Oleh itu, pemeriksaan berkala dan tindakan pencegahan adalah penting untuk mengelakkan bencana di masa depan.
Disediakan oleh: Farah Hanan Aminallah & Jamilah Bebe Mohamad