DARIPADA BOTOL MENJADI BUNGA: KREATIVITI LESTARI WARGA PBM
PEKAN, 13 Ogos 2026 - Daripada botol air mineral terpakai menjadi kuntuman bunga yang indah, kreativiti warga Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), terserlah menerusi aktiviti Bunga Lestari sempena Program SAFEKSA 2026.
Program anjuran Jawatankuasa Kelestarian Zon PBM ini menggalakkan warga PBM mencetuskan kreativiti dengan menghasilkan bunga daripada botol air mineral terpakai. Botol yang dikumpulkan di reruai Pameran EKSA dipotong, dibentuk dan dihias menjadi kelopak bunga sebelum digabungkan menjadi sejambak bunga yang menarik. Aktiviti ini mengetengahkan konsep upcycling (kitar tinggi) secara mudah dan kreatif.
Aktiviti ini diketuai oleh Cik Jamilah Bebe Mohamad dengan bantuan Puan Farah Hanan binti Aminallah, Puan Mardhiyyah binti Zamani, Cik Fathiah Izzati Mohamad Fadzillah, Cik Mahzaton Aqma binti Abu Talip serta pelajar latihan industri, Muhamad Zul Izrinhelmi bin Othman. Menurut Penyelaras Zon EKSA PBM, Puan Amy Zulaikha Mohd Ali, program tersebut merupakan pendekatan yang mudah dan kreatif untuk membudayakan amalan kelestarian dalam kalangan warga PBM.
“Kita ingin menunjukkan bahawa bahan terpakai masih mempunyai nilai. Dengan sedikit kreativiti, bahan yang biasanya dibuang boleh dijadikan sesuatu yang cantik dan bermanfaat,” katanya.
Bagi pelajar latihan industri, Muhamad Zul Izrinhelmi bin Othman, aktiviti tersebut merupakan pengalaman baharu yang menyeronokkan.
“Ini kali pertama saya belajar membuat bunga daripada botol air mineral terpakai. Pada mulanya, aktiviti ini kelihatan sukar, tetapi selepas mencuba, saya berasa seronok dan teruja melihat hasilnya,” katanya.
Selain menghasilkan bunga, program ini turut membuka ruang kepada warga PBM untuk berinteraksi, berkongsi idea dan mengeratkan kerjasama dalam suasana santai. Lebih istimewa, sejambak bunga yang dihasilkan telah disampaikan kepada Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali, semasa majlis penutup Program SAFEKSA 2026.
Ketika menerima pemberian tersebut, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali menzahirkan rasa gembira dan terharu serta menghargai kreativiti warga PBM dalam menghasilkan hadiah yang mempunyai nilai kelestarian.
“Saya amat menghargai pemberian sejambak bunga ini. Kreativiti seperti ini menunjukkan bahawa bahan terpakai juga boleh diberikan nilai baharu dan menjadi sesuatu yang bermakna,” katanya.
Aktiviti Bunga Lestari membuktikan bahawa amalan EKSA boleh diterapkan melalui pendekatan yang mudah, kreatif dan menyeronokkan, di samping menyemarakkan semangat kerjasama dalam kalangan warga PBM.
Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad