Official Website    

KEJOHANAN BOLING PBM 4.0 2026 SEMARAKKAN SEMANGAT KEKITAAN WARGA PBM

PEKAN, 24 Julai 2026 – Kejohanan Boling PBM 4.0 2026 anjuran Unit Sukan dan Rekreasi, Pusat Bahasa Moden (PBM) telah berlangsung di Premium Lanes, Pekan Bowling Centre. Kejohanan yang menghimpunkan staf dari Pusat Bahasa Moden dan beberapa staf jemputan dari jabatan lain menjadi medan persaingan sihat dalam kalangan warga UMPSA, khususnya warga PBM, bagi memupuk semangat berpasukan dan menggalakkan gaya hidup aktif. Kehadiran barisan pengurusan PBM dalam kejohanan yang dianjurkan buat kali keempat ini mencerminkan sokongan penuh terhadap usaha ini.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah kategori berkumpulan dan individu. Johan bagi kategori berkumpulan ialah Kumpulan Satu (Azizul Zainun, Mohammad Baihaqi Hasni dan Nurazila Arshad) dengan kutipan 984 mata. Tempat kedua diraih oleh Kumpulan Enam (Dr. Abdullah Adnan Mohamed, Nurul Syazwani Aziz dan Nurul Farhana Zakaria) dengan 971 mata, dan tempat ketiga milik Kumpulan Lima (Amir Haikal Imran Ahmad Asha'ari, Lee Cheng May dan Muhamad Aizat Zulkifli) dengan 936 mata.

Bagi kategori individu lelaki pula, Amir Haikal Imran Ahmad Asha'ari muncul sebagai juara dengan kutipan 505 mata, diikuti Azizul Zainun di tempat kedua dengan 382 mata dan Dr. Abdullah Adnan Mohamed di tempat ketiga dengan 377 mata. Sementara itu, bagi kategori individu wanita, Nurul Farhana Zakaria dinobatkan sebagai juara dengan kutipan 356 mata, manakala Azimah Ahmad Zaki menduduki tempat kedua dengan 342 mata dan Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim di tempat ketiga dengan 302 mata.

Kejohanan turut mencuri perhatian apabila tiga peserta yang memperoleh mata terendah menerima pingat Gutter King dan Gutter Queen sebagai tanda galakan. Selain pingat kepada pemenang, semua peserta turut menerima cenderahati sebagai kenang-kenangan atas penyertaan mereka. Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali.

Sabine Brueggemann, pensyarah pelawat baharu bagi bahasa Jerman, menyifatkan penyertaan dalam aktiviti seperti ini sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna kerana memberikan peluang untuk beriadah dan membolehkannya mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja.

Secara keseluruhannya, Kejohanan Boling PBM 4.0 2026 berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan dengan menggabungkan elemen sukan, rekreasi dan hubungan kekitaan dalam kalangan warga PBM. Penganjuran kejohanan ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan yang lebih ramai, sekali gus menjadikan aktiviti sukan dan rekreasi sebagai salah satu medium penting dalam membentuk warga PBM yang cergas dan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni.

 

Disediakan oleh: Leong Hui Theng, Shamsul Harbi