Previous Next
">

BICARA MUNSYI @ UMPSA: PUSAT BAHASA MODEN DAN JABATAN PENDAFTAR KOMITED DALAM USAHA PEMARTABATAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU

Pekan, 8 Ogos 2024 – Program Bicara Munsyi @ UMPSA dengan tema "Nampak Betul Tapi Salah" telah diadakan di Dewan Kuliah Utama, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Program yang berlangsung ini adalah anjuran bersama Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar dan PBM, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Program menampilkan Tuan Haji Shamdzul Ahmad, Munsyi Dewan dari DBP sebagai penceramah utama. Aktiviti dimulakan dengan sesi interaktif "UMPSA Cakna Bahasa Melayu", untuk menguji ketepatan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan peserta. Selain itu, aktiviti ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan peserta mengenai bahasa kebangsaan.

Majlis kemudian diteruskan dengan kata aluan oleh Dekan Pusat Bahasa Moden, Professor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan peranannya dalam membentuk identiti dan jati diri warga Malaysia. Beliau juga menggariskan objektif program ini dalam memupuk kecintaan terhadap bahasa dan budaya tanah air.

Penceramah Tuan Haji Shamdzul kemudiannya menyampaikan ucapan yang menyentuh kepentingan Bahasa Melayu dalam konteks ilmu dan komunikasi. Beliau juga membincangkan beberapa isu bahasa yang sering dihadapi oleh masyarakat serta memberikan panduan untuk memperbaiki penggunaan bahasa yang betul dalam situasi tempat kerja dan kehidupan harian.

Program ini diakhiri dengan sesi soal jawab yang interaktif antara peserta dan penceramah. Ia memberikan peluang kepada peserta program bagi mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut mengenai isu-isu dan kesalahan umum bahasa Melayu. Program Bicara Munsyi @ UMPSA ini diharap dapat memberikan impak positif dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, selaras dengan visi Kementerian Pengajian Tinggi dan UMPSA.

Seramai 113 peserta berjaya dihimpunkan dalam program ini yang terdiri daripada warga UMPSA dari pelbagai fakulti dan pusat tanggungjawab. Sepanjang program berlangsung, para peserta menunjukkan kerjasama dan perhatian yang tinggi. Aktiviti “UMPSA Cakna Bahasa Melayu” memberi peluang kepada peserta yang mempamerkan pengunaan bahasa Melayu yang tepat untuk pulang dengan hadiah yang menarik. Program ini turut memperlihatkan kerjasama yang erat antara dua pusat tanggungjawab yang terlibat untuk memastikan kelancaran dan kejayaan program.

Disediakan oleh: Rosnani Ismail & Hamizah Zahari


Print   Email