AROMA KOREA DAN JEPUN SATUKAN MAHASISWA UMPSA MELALUI PROGRAM ‘LET’S COOK TOGETHER’
PEKAN, 16 Mei 2026 – Perkarangan Masjid Al-Jazari, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Pekan bertukar menjadi medan pertemuan budaya apabila lebih 50 orang pelajar tempatan dan antarabangsa berhimpun dalam program kulinari “Let’s Cook Together”. Program anjuran bersama Kelab K-Chingu (Kelab Bahasa Korea) dan Kelab JANPU (Kelab Bahasa Jepun) ini bukan sekadar menghidangkan pengalaman memasak, malah menjadi platform unik untuk mengeratkan persahabatan, memupuk persefahaman budaya dan mengukuhkan pembelajaran bahasa melalui interaksi sebenar.
Seawal pagi, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan disambut dengan kemudahan yang telah disediakan, termasuk meja, kerusi serta sarapan pagi sebagai pembuka program. Aktiviti suai kenal kemudiannya dimulakan dengan pengenalan kepada beberapa permainan tradisional popular dari Korea yang berjaya menceriakan suasana, sekali gus mengeratkan hubungan dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan peserta.
Seterusnya untuk sesi pertama iaitu demonstrasi masakan ikonik Korea, mandu (dumpling Korea). Melalui sesi ini, para peserta diperkenalkan dengan bahan-bahan segar seperti bawang, daging ayam yang dicincang halus, kicap masin, dan minyak bijan. Suasana menjadi lebih meriah apabila setiap kumpulan diberikan papan pemotong dan pisau untuk menyediakan sendiri bahan masakan mereka. Dengan bimbingan dan bantuan mesra daripada para fasilitator, peserta dilihat seronok bekerjasama, saling membantu dan berinteraksi sesama ahli kumpulan. Sesi ini diakhiri dengan aktiviti merebus mandu sebelum para peserta menikmati hasil air tangan sendiri dan berehat untuk makan tengah hari.
Sesi kedua diteruskan dengan penerokaan hidangan ikonik dari Negara Matahari Terbit, iaitu sushi. Demonstrasi yang dikendalikan oleh ahli-ahli Kelab JANPU berjaya menarik perhatian peserta melalui perkongsian teknik penyediaan sushi yang kemas dan teratur. Melalui sesi ini para pelajar bukan sahaja mengenali bahan-bahan asas sushi, malah berpeluang mempelajari teknik menggulung dan membentuk sushi secara manual menggunakan tangan. Suasana pembelajaran menjadi lebih interaktif apabila Maklum balas yang diterima sangat aktif apabila peserta mengemukakan soalan dan menunjukkan kreativiti masing-masing sebelum sesi makan-makan hasil air tangan sendiri bermula.
Program melabuhkan tirainya dengan ucapan penutup oleh Mahzaton Aqma Binti Abu Talip, Penolong Penasihat Kelab K-Chingu. Menurut beliau program ini bukan sekadar aktiviti memasak, tetapi satu ruang untuk pelajar belajar menghargai kepelbagaian budaya melalui pengalaman sebenar. Beliau melihat interaksi dan kerjasama yang terjalin sepanjang aktiviti membuktikan bahawa makanan dan bahasa mampu menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat. Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan sebagai platform untuk memperkukuh hubungan dan persefahaman antara pelajar tempatan dan antarabangsa.
Raut wajah para peserta jelas memancarkan kegembiraan dan kepuasan walaupun seharian mereka sibuk dengan pelbagai aktiviti serta sesi penyediaan makanan. Bagi mereka, peluang mempelajari cara menyediakan hidangan autentik Korea dan Jepun secara praktikal bersama rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang merupakan satu pengalaman esklusif dan bermakna yang sukar dilupakan dan sukar didapati di luar kampus.
Melihat kepada sambutan yang amat memberangsangkan serta impak positif yang tercipta, program kolaborasi antara Kelab K-Chingu dan Kelab JANPU ini wajar diteruskan sebagai salah satu platform pemerkasaan bahasa dan budaya di UMPSA. Melalui aktiviti berasaskan pengalaman seperti ini, mahasiswa bukan sahaja mempelajari bahasa asing, malah berpeluang membina jaringan persahabatan, menghargai kepelbagaian budaya dan menyemai semangat kebersamaan dalam komuniti kampus.
Disediakan oleh: Mahzaton Aqma Binti Abu Talip, Zatul Amrah Mohammad Nazri