WARGA PBM MERIAHKAN SUKAN RAKYAT SEMPENA KARNIVAL MAHABBAH MASJID AL-JAZARI 2025
PEKAN, 22 Oktober 2025 – Dari meja pejabat ke padang, seramai 16 staf Pusat Bahasa Moden (PBM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tampil menyertai sukan rakyat sempena Karnival Mahabbah Masjid Al-Jazari 2025 anjuran Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) UMPSA di Dataran Masjid Al-Jazari, Pekan.
Meninggalkan seketika rutin kerja dan papan putih, warga PBM menyarung pakaian sukan dan turun ke padang. Mereka beraksi bukan dengan komputer riba, namun dengan kelapa, belon air dan tali.
Peserta terdiri daripada Muhamad Aizat Zulkifli, Nurul Syazwani Aziz, Shahanor Firdaus Ismail, Azizul Zainun, Nurul Farhana Zakaria, Syahrina Ahmad, Mohd Shafiq Abdul Jabar, Noraisah Nurul Fatwa Mohd Razali, Rosnani Ismail, Azimah Ahmad Zaki, Leong Hui Theng, Farah Liyana Ahmad A’azmey, Shamsul Harbi, Mahzaton Aqma Abu Talip, Wan Noor Farah Wan Shamsuddin dan Hanisah Bon (Kasbon).
Program yang berlangsung dari jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang ini menghimpunkan pelbagai acara dan permainan tradisional seperti boling kelapa, baling belon air, isi air dalam botol, pancing botol, memanah, tarik tali, congkak, karom dan pertandingan motor paling lambat dengan penyertaan percuma dan tawaran hadiah tunai bagi pemenang.
Acara pertama iaitu sukan rakyat merangkumi baling belon air, boling kelapa, isi air dalam botol dan pancing botol. Majlis membuka tirai dengan acara baling belon air. Seorang peserta membaling belon, ahli kumpulannya menangkap belon tersebut dari jarak tertentu tanpa jatuh atau meletup. Setiap pusingan jarak semakin jauh dan belon semakin berisiko jatuh dan meletup. Walaupun tidak menjuarai pusingan ini, pasukan PBM kekal ceria memberi semangat antara satu sama lain.
Boling kelapa pula mencuri tumpuan apabila tiada bola sebenar digunakan, hanya kelapa sebagai gantinya dan botol air mineral sebagai pin. Ada peserta berjaya menjatuhkan lima botol sekali gus dengan gaya tersendiri, manakala ada yang tersilap arah hingga kelapa memasuki gelanggang kumpulan lain, yang mencetuskan suasana gamat. Ada juga peserta berlari semula mencari kelapa sendiri yang terlepas jauh akibat balingan terlalu kuat. Suasana meriah menjadikan boling ini benar-benar strike gaya PBM.
Dalam acara pancing botol, sepuluh staf PBM menggunakan galah, tali dan paku untuk memancing botol di atas jalan. Hembusan angin kuat menjadikan tugas lebih mencabar, namun dengan kerjasama dan kesabaran. Pasukan PBM akhirnya berjaya memancing sembilan botol. Ini merupakan antara catatan terbaik acara tersebut.
“Permainan ini nampak mudah, tapi sebenarnya melatih fokus dan kawalan tangan.” ujar Nurul Syazwani Aziz, staf pentadbiran PBM.
Acara memanah pula menyaksikan dua pasukan PBM, masing-masing terdiri daripada tiga peserta lelaki dan tiga peserta wanita. Ada yang menutup sebelah mata meniru gaya pemanah profesional bagi memastikan bidikan tepat ke sasaran. Gaya dan semangat mereka tetap mencuri perhatian penonton.
Sorakan semakin bergema apabila acara tarik tali bermula. Lima wakil lelaki PBM berganding tenaga bersama pasukan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), menarik tali sekuat tenaga demi menawan garisan kemenangan. Walau kepenatan terpancar, semangat kesepakatan kekal utuh.
Turut menyerikan penyertaan PBM adalah dua wakil dalam pertandingan congkak. Dalam acara sukan rakyat kali ini, PBM berjaya meraih dua kemenangan, masing-masing tempat kedua dalam acara tarik tali dan pertandingan congkak.
Menutup hari penuh keceriaan tersebut, warga PBM menikmati juadah di gerai-gerai sekitar dataran sambil berkongsi kisah sepanjang pertandingan. Suasana hari itu menghidupkan semula semangat permainan tradisional serta budaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus.
Disediakan oleh: Leong Hui Theng & Shamsul Harbi