Previous Next
">

STAF PUSAT BAHASA MODEN MEMERIAHKAN PERARAKAN BULAN KEMERDEKAAN

KUANTAN, 31 OGOS 2024 - Seramai empat orang staf Pusat Bahasa Moden (PBM) terlibat dalam memeriahkan Perarakan Bulan Kemerdekaan di Padang Majlis Perbandaran 1 Kuantan. Keempat-empat staf yang menyertai perbarisan perarakan kemerdekaan ini ialah Encik Shamsul Harbi, Puan Hanisah Bon (Kasbon), Cik Jamilah Bebe Mohamad, dan Cik Najjahul Huda Hassan.

Mereka bersama-sama dengan 40 warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berganding bahu membentuk satu pasukan yang mewakili kontigen UMPSA. Acara perarakan ini bermula sejak tiga hari sebelum hari kemerdekaan, iaitu selama dua hari merupakan hari latihan serta raptai penuh yang dimulai seawal jam lima pagi.

Menurut Cik Najjahul Huda, staf teknikal PBM, ini merupakan buat julung kalinya pada tahun ini beliau menyertai Perarakan Bulan Kemerdekaan. Penglibatan beliau pada tahun ini dalam acara perbarisan dan perarakan bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2024 ini memberikan pengalaman baru sambutan kemerdekaan kepada dirinya. Suasana menghadiri sendiri upacara perbarisan berbanding hanya menonton di televisyen pada tahun-tahun sebelum ini menyuntik semangat dalam dirinya untuk lebih menghargai dan menghayati kemerdekaan yang dikecapi negara ini. Beliau kagum melihat kehadiran orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum sejak awal pagi membanjiri Padang MPK 1 ini bersama keluarga masing-masing semata-mata untuk menonton perarakan ini secara terus dan memberi sokongan kepada semua kontijen yang menyertai perarakan ini.

Umum mengetahui bahawa Perbarisan Perarakan Kemerdekaan merupakan acara tahunan yang diadakan di seluruh negara dalam meraikan kemerdekaan yang dikecapai negara ini. Saban tahun acara ini diadakan di bandar-bandar besar seluruh negara dan mendapat sambutan yang sangat luar biasa dari rakyat negara ini. Ketika upacara ini, orang ramai dapat menyaksikan pelbagai agensi kerajaan dan swasta mempamerkan kreativiti dan kebolehan masing-masing dalam menzahirkan kecintaan terhadap negara ini.

Selain itu, pelbagai ragam dan suasana kemerdekaan dapat dilihat dan diterjemahkan dengan pelbagai cara oleh orang ramai yang berkunjung ke padang MPK 1 ini. Ada yang mengenakan tudung bermotifkan corak bendera Malaysia, ada yang membuat lukisan bendera pada wajah mereka, dan ada juga kanak-kanak yang mengenakan pakaian seragam badan beruniform negara. Beberapa pengunjung turut hadir dengan sepanduk dan bendera Malaysia yang dikibarkan sepanjang acara berlangsung. Walaupun pelbagai cara dan kaedah ditonjolkan tetapi kesemua mereka berkongsi hasrat dan semangat yang sama iaitu menzahirkan rasa kecintaan dan kebanggan terhadap negara.

Semoga penglibatan staf PBM dalam aktiviti sebegini menjadi medium kepada mereka untuk mengenali dengan lebih ramai warga UMPSA, sambil menyemai semangat patriotisme kepada negara. Selain itu, diharapkan penyertaan ini turut memperkasa kemahiran bersosial, khususnya dari aspek komunikasi, toleransi, kerja berpasukan dan semangat kesukarelawanan.

Salam Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.

Penulis: Jamilah Bebe Mohamad & Hanisah Bon (Kasbon)

 


Print   Email