Previous Next
">

STAF PBM MERIAHKAN KARNIVAL ‘JOM MASUK U’

1 Jun 2024, UMPSA GAMBANG- Ke bawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pro Canselor UMPSA berkenan berangkat bercemar duli bagi merasmikan Program Jom Masuk U 2024, Zon Timur II di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini. Karnival Jom Masuk U 2024 meriah dengan hampir 70 buah reruai pelbagai agensi Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang menyajikan pelbagai informasi dan aktiviti menarik untuk para pengunjung.

Staf Pusat Bahasa Moden (PBM) juga turut serta dalam memeriahkan karnival ini sama ada sebagai petugas mahupun pengunjung. Dekan PBM, iaitu Profesor Madya Dr. Nik Aleosnita Nik Mohd Alwi, turut hadir bersama barisan kepimpinan tertinggi UMPSA untuk memeriahkan karnival ini. Seterusnya beberapa orang staf juga terlibat sebagai petugas bahagian jawatankuasa jamuan, jemputan dan sambutan iaitu, Puan Nor Ashikin Sulaiman, Puan Erma Yanti Zakaria, En Muhammad Aizat Zulkifli, Cik Jamilah Bebe Mohamad dan Cik Najjahul Huda Hassan. Menurut Cik Najjahul Huda Hassan, selain terlibat dengan tugasan sebagai ahli jawatankuasa jamuan, beliau juga turut membantu sesi siaran langsung ketika sesi perasmian karnival Jom Masuk U yang dilakukan melalui medium Facebook rasmi UMPSA untuk tontonan umum. Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana sepanjang majlis perasmian tersebut siaran langsung dapat dilakukan dengan baik dan jayanya.

Selain bertugas, kehadiran staf PBM adalah bersama ahli keluarga mereka terutamanya anak- anak mereka yang sedang bercuti sekolah juga memeriahkan karnival ini. Menurut anakanda kepada puan Erma iaitu Nur Najwa Athirah yang merupakan pelajar lepasan SPM Sekolah Sains Haji Ahmad Shah (SHAH) Pekan, mengatakan bahawa beliau hadir ke karnival ini adalah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan institusi pengajian tinggi dan dapat berkongsi dengan rakan-rakannya yang tidak dapat menghadirkan diri. Hal ini turut dikongsi olah Umniyyah Muhammad Sabri, iaitu anak kepada Puan Mardhiyyah Zamani, Guru Bahasa Arab PBM. Beliau menyatakan kehadirannya bersama ibu dan adik beradiknya ke karnival ini adalah untuk membantu dirinya membuat pilihan terbaik dan yang bersesuaian dengan kecenderungan minatnya. Beliau yang merupakan juga pelajar cemerlang dari Maahad tahfiz Darul Ulum Al- Basriyyah Berserah yang memperolehi 11A dalam SPM baru-baru ini. Manakala menurut Puan Nor Ashikin Sulaiman, iaitu Pegawai Tadbir UMPSA beliau dan anak-anaknya hadir ke karnival ini supaya anaknya, Muhammad Thaqief Uwaise bin Ahmad Khairul Ariffin sekarang berada di tingkatan 4 Kolej Permata Pintar mendapat pendedahan tentang aliran atau pilihan yang ada dalam hala tuju untuk menyambung pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta di Malaysia. Dengan itu, beliau berharap anaknya dapat membuat perancangan awal dan lebih bersedia kelak.

Selain itu, karnival Jom Masuk U ini juga dimeriahkan dengan Campus Tour@UMPSA, persembahan Street Science, Karnival Keusahawanan, demonstrasi dron dan pengunjung juga berpeluang bertemu dengan pempengaruh media sosial iaitu yang dikenali sebagai Amin x Abid.

 

Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad


Print   Email