Previous Next
">

STAF PBM MENYERTAI KEMERIAHAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH

9 Oktober 2024 – Aktiviti tahunan Sambutan Maulidur Rasul disambut meriah di masjid baru Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan (UMPSA) Pekan. Sekumpulan staf pentadbiran dan teknikal Pusat Bahasa Moden (PBM) turut memeriahkan majlis dengan menyertai perarakan ini. Segak berbaju batik dengan perhiasan tangan diiringi laungan selawat yang diketuai oleh Encik Mohd Shahanor. Bertemakan Al-Falah Pemacu Malaysia Madani, suasana perarakan kali ini meriah dengan disertai oleh 28 kontigen lain yang mewakili semua pusat tanggungjawab di UMPSA.

Menurut Cik Nurul Syazwani, beliau berharap dengan perarakan ini, ikatan silaturahim dapat diperkukuhkan dan semangat cintakan Rasulullah terus mekar dalam kalangan warga UMPSA. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa aktiviti sebegini penting untuk menyemarakkan semangat kebersamaan di kalangan semua staf di universiti ini. Dengan adanya perarakan ini, diharapkan generasi muda dapat lebih menghargai nilai-nilai murni yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW, ujarnya.

Perarakan dimulakan di perkarangan Perpustakaan UMPSA Pekan seawal jam 8:30 pagi dan berakhir sekitar jam 12:00 tengah hari dengan diadakan acara ceramah khas oleh Ustaz Muhammad Syaari bin Abdul Rahman dengan dihadiri oleh kepimpinan tertinggi UMPSA.

Sambutan ini berakhir dengan cabutan bertuah yang menyaksikan Pegawai Tadbir Pusat Bahasa Moden, Puan Nor Ashikin Sulaiman terpilih sebagai salah seorang pemenang cabutan bertuah. Tahniah diucapkan.

Di harapkan sambutan perarakan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara warga UMPSA dan staf PBM agar menjadi muslim yang sentiasa terinspirasi untuk menghayati ajaran Rasulullah dan meneruskan usaha dalam memartabatkan sunnah Nabi di dalam kehidupan seharian. Semoga semangat dan keindahan sambutan ini terus menyala di hati setiap warga UMPSA untuk tahun-tahun akan datang.

Penulis:

Hanisah Bon (Kasbon)
Jamilah Bebe Mohamad


Print   Email