SIRI WADAH PERKONGSIAN ILMU PBM 2024
PEKAN, 20 Disember 2024 - Sesi Perkongsian Ilmu (Knowledge Sharing Session) sepanjang tahun 2024 melabuhkan tirainya hari ini. Ini adalah salah satu inisiatif Pusat Bahasa Moden (PBM) untuk menyediakan platform atau ruang bagi staf memperkaya ilmu pengetahuan, berkongsi kemahiran, serta membentangkan dapatan kajian dalam bidang pengajaran bahasa dan bidang lain yang relevan dan bermanfaat kepada semua warganya.
Program ini mempunyai lima siri perkongsian yang melibatkan guru bahasa dari dua jabatan utama PBM iaitu Jabatan Bahasa Inggeris dan Jabatan Bahasa Asing. Setiap siri perkongsian menawarkan pelbagai topik yang relevan dengan pengajaran bahasa dan isu terkini dalam dunia pendidikan.
Pembuka sesi perkongsian pada tahun ini dimulakan dengan perkongsian menarik oleh Dr. Nur Ainil Sulaiman, pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk “Insights through Eyes: Exploring Eye Tracking Research in Education” yang disampaikan secara dalam talian. Melalui perkongsian ini, warga PBM didedahkan dengan kajian yang menggunakan teknologi penjejakan mata untuk memahami bagaimana pelajar memproses maklumat, belajar dan memberi tumpuan kepada kandungan tertentu.
Dalam siri perkongsian seterusnya, para pembentang berpeluang membincangkan dan berkongsi amalan terbaik dalam pengajaran bahasa, termasuk pendekatan dan strategi yang mereka praktikkan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, mereka juga dapat berkongsi penilaian serta pencapaian pelajar berdasarkan data yang diperoleh, yang dapat dijadikan maklum balas untuk memperkukuh dan memperbaiki amalan pengajaran pada masa hadapan.
Melalui perkongsian ini, para guru juga dapat memperbaiki pendekatan yang digunakan dalam mencapai matlamat pengajaran yang lebih efektif. Hal ini tidak hanya meningkatkan prestasi mereka sebagai pendidik, tetapi juga memberi impak positif terhadap pencapaian pelajar kerana mereka berpeluang belajar dengan seorang pendidik yang sentiasa berusaha untuk membuat penambahbaikan secara berterusan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran melalui kajian tindakan.
Di samping itu, sesi perkongsian ini memainkan peranan penting dalam memupuk keyakinan diri guru bahasa. Dengan memberi peluang kepada mereka untuk tampil di hadapan khalayak ramai, sesi ini membantu meningkatkan rasa percaya diri mereka dalam menyampaikan idea dan hasil kajian yang telah dilaksanakan. Selain itu, pertukaran idea yang berlaku dalam sesi perkongsian ini juga memberi manfaat yang signifikan dan memperkaya pengetahuan mereka dengan idea-idea segar dan pendekatan yang lebih inovatif dalam pengajaran bahasa. Perkongsian maklumat baharu yang disampaikan oleh guru bahasa dalam sesi ini tidak hanya memberi manfaat kepada guru yang terlibat, tetapi juga kepada seluruh komuniti pendidikan, kerana dapat memperkenalkan pendekatan dan teknik baharu yang boleh dipraktikkan.
Ucapan terima kasih ditujukan kepada Nurul Syazwani Aziz, staf pentadbiran PBM, yang telah bertindak sebagai urus setia utama dalam mengurus dan menyusun atur sesi perkongsian sepanjang tahun 2024 di bawah bimbingan Dr. Fatimah Ali, Timbalan Dekan Akademik PBM. Beliau menyatakan, “Saya berharap sesi perkongsian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua guru bahasa dan dijadikan sebagai wadah pertukaran ilmu dan perkongsian yang bermanfaat kepada kita semua.”
Tahniah diucapkan kepada semua guru bahasa yang telah melakukan perkongsian sepanjang tahun 2024. Semoga usaha ini dapat diteruskan pada tahun berikutnya. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang dikongsi, diamalkan, dan terus memberi kebaikan sepanjang hayat.
Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad