SIAP SIAGA DI ZON 1: MENGUKUHKAN BUDAYA KESELAMATAN DI UMPSA
PEKAN, 24 September 2025 - Sesi Latihan Kawad Kecemasan Zon 1, Kampus Pekan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di bawah koordinasi pihak Perpustakaan. Pusat tanggungjawab (PTJ) yang terlibat untuk Zon 1 UMPSA adalah Pusat Bahasa Moden (PBM), Pusat Teknologi Digital (DiTec) dan Perpustakaan.
Latihan ini amat penting bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga universiti dalam menghadapi situasi kecemasan. Objektif utama latihan kawad kecemasan ini adalah untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada warga UMPSA terutama yang menggunakan bangunan di Zon 1, mengenai tatacara dan langkah-langkah yang perlu dilakukan ketika berlaku kecemasan atau perkara yang tidak dijangka, contohnya kebakaran, kemalangan, atau bencana lain. Selain itu, sesi latihan ini juga amat membantu dalam mengenal pasti sumber kekuatan sedia ada serta menilai sekiranya terdapat prosedur keselamatan yang perlu ditambah baik.
Sesi Latihan Kawad Kecemasan ini dikendalikan oleh ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) PTJ yang terlibat dan melibatkan penyertaan aktif daripada staf PBM, DiTec dan Perpustakaan. Unit KKP PBM bertanggungjawab menyelia dan mengkoordinasi pergerakan warga UMPSA yang menghuni bangunan PBM di Kampus Pekan. Aktiviti ini juga mendapat sokongan daripada Pusat Akreditasi Akademik (PAA), Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik (PIDA), Institut Confucius (CI), Pusat Jaringan Global dan lain-lain. Semua peserta dan warga kampus yang terlibat memberikan kerjasama dan menunjukkan komitmen yang baik sepanjang sesi latihan dijalankan.
Selain itu, Sesi Latihan Kawad Kecemasan ini turut melibatkan pihak bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Pekan. Pasukan bomba memainkan peranan peranan penting dalam memberikan taklimat keselamatan kepada peserta yang terlibat, serta tunjuk ajar secara praktikal mengenai penggunaan alat pemadam api yang betul. Beberapa staf daripada Perpustakaan dan DiTec juga diberi peluang mencuba menggunakan alat pemadam api semasa demonstrasi pemadaman kebakaran.
Menurut Penyelaras Jawatan KKP PBM, Puan Farah Hanan binti Aminallah, “Latihan Kawad Kecemasan ini penting untuk memastikan setiap daripada kita tahu tindakan yang sepatutnya diambil sekiranya berlaku sebarang kecemasan sebenar. Saya berharap semua ilmu dan pengalaman daripada latihan ini dapat dipraktikkan serta menjadi sebahagian daripada budaya keselamatan di tempat kerja. Sama-sama kita metingkatkan kesedaran dan komitmen terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya di PBM”.
Secara keseluruhan, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat Peramu serta semua yang terlibat dalam menjayakan latihan ini. Diharapkan budaya menjaga keselamatan, kesihatan dan pekerjaan dapat terus dipupuk dalam kalangan warga universiti.
Disediakan oleh: Siti Ainun Jariyah Hassan, Nurul Syazwani Aziz & Hamizah Zahari