Official Website    

PENYERTAAN PBM DALAM MENGUKIR KENANGAN DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-20 UMPSA

GAMBANG, 8 hingga 11 November 2025 – Staf Pusat Bahasa Moden (PBM) menyaksikan kejayaan Majlis Konvokesyen Ke-20 (MKK20) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung  di Dewan Kompleks Sukan, Kampus Gambang. Dalam lima sesi majlis yang bermakna tersebut, seramai 4259 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing daripada pelbagai bidang pengajian.

Konvokesyen ini disempurnakan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dengan setiap sesi turut dihadiri oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias yang memberikan ucapan rasmi. Pro-Canselor turut menyampaikan ucapan pada tiga sesi pertama.

Pasukan Jawatankuasa Teks Ucapan dan Penulisan Khas menjadi tulang belakang penyediaan teks ucapan yang disampaikan sepanjang konvokesyen. Jawatankuasa ini diketuai oleh Jamilah Bebe Mohamad, dibantu oleh Farah Liyana Ahmad A’Azmey, Siti Ainun Jariyah, Nurkarimah Yusof, Leong Hui Theng, Amir Haikal Imran Ahmad Asha’ari dan sepuluh staf dari pusat tanggungjawab lain.

Semenjak dua minggu sebelum konvokesyen, pasukan ini sudah sibuk menyusun dan menyunting teks untuk Buku Konvokesyen, khususnya bagi bahagian Graduan Penerima Anugerah di bawah pimpinan Nurkarimah Yusof. Setiap pencapaian graduan dirangka dengan teliti agar kisah mereka terserlah dalam setiap ayat. Antara teks penerima anugerah tertinggi yang dimuatkan ialah Khairul Imran Khalip yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Ik Shim Eh Fhot yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dan Aghilan Ganesan yang menerima Anugerah Canselor.

Pada awal pagi setiap sesi konvokesyen sebelum dewan dipenuhi tetamu, ketua Jawatankuasa Teks Ucapan dan Penulisan Khas, Jamilah Bebe Mohamad sudah melangkah laju dengan fail berisi teks ucapan yang disunting berkali-kali bagi memastikan ketepatan dan kesempurnaan setiap kata. Pasukan ini menjadi perantara dalam penyediaan teks ucapan Pro-Canselor, Naib Canselor, Titah Diraja dan wakil graduan.

“Majlis konvokesyen adalah antara acara rasmi terpenting universiti. Teks mesti tersusun dan teratur. Kami berasa puas hati apabila semua sesi berjalan dengan baik.” ujar Farah Liyana Ahmad A’Azmey.

Walaupun majlis hanya berlangsung tiga hari, persiapan pasukan bermula jauh lebih awal. Kewajipan mereka melibatkan mesyuarat, semakan, penyuntingan dan penyelarasan berulang kali. Pada hari pertama konvokesyen, selepas jam enam petang ketika dewan sudah lengang, pasukan ini masih meneliti teks untuk sesi seterusnya bagi memastikan tiada maklumat yang terlepas.

“Kewajipan ini bukan tugasan harian, tetapi amanah. Setiap ayat membawa makna, setiap teks membawa imej universiti.” kata Jamilah Bebe Mohamad.

Sepanjang lima sesi konvokesyen, setiap ucapan yang disampaikan di dewan dan disiarkan secara langsung merupakan hasil kerja pasukan teks, memastikan setiap frasa dan maklumat disampaikan dengan sempurna. Perubahan saat akhir mencabar, namun segala persiapan tetap diselesaikan.

Ucapan wakil graduan cemerlang bagi setiap sesi juga disunting oleh pasukan ini, melibatkan Khairul Imran Khalip, Ik Shim Eh Fhot, Aghilan Ganesan dan Fathiah Najibah Mohd Hamka. Bagi pasukan Jawatankuasa Teks Ucapan dan Penulisan Khas, melihat graduan naik pentas dengan bangga adalah detik yang membalas segala penat lelah mereka meskipun usaha mereka tidak kelihatan di hadapan khalayak.

Selain Jawatankuasa Teks Ucapan dan Penulisan Khas, beberapa staf PBM turut memainkan peranan penting melalui jawatankuasa lain. Hamizah Zahari memainkan peranan penting sebagai Pegawai Pengiring bawah Jawatankuasa Jemputan dan Sambutan dengan menguruskan kehadiran tetamu kehormat serta memudahcara pergerakan mereka sepanjang majlis konvokesyen.

Muhamad Aizat Zulkifli menyertai Jawatankuasa Kecil Pendaftaran dan Perarakan Akademik. Beliau menyifatkan pengalaman ini sebagai peluang berharga untuk melihat secara dekat bagaimana setiap pasukan berganding bahu bagi memastikan majlis berlangsung dengan tertib dan teratur.

Turut mencuri perhatian ialah Jawatankuasa Protokol dan Adat Istiadat melalui peranan Mohammad Baihaqi Hasni yang bertugas sebagai bentara memegang cokmar. Beliau memastikan perjalanan acara kekal dalam tertib yang ditetapkan. Tugas bentara bermula seawal perarakan masuk apabila beliau mendahului barisan tetamu utama. Langkah yang tenang namun tegas menandakan bermulanya majlis, diikuti seluruh hadirin yang bangun memberi hormat.

Setiap pergerakan bentara dilatih dengan rapi sama ada daripada cara memegang cokmar, kadar langkah, hingga kedudukan berhenti di pentas utama agar segalanya mencerminkan disiplin dan kehormatan. “Setiap langkah yang kami ambil membawa amanah untuk menjaga tertib dan istiadat universiti.” kata Mohammad Baihaqi Hasni.

Staf akademik PBM termasuk pensyarah dan guru bahasa menyertai perarakan akademik dengan jubah biru universiti, mengiringi graduan sepanjang istiadat tersebut. Mereka terdiri daripada Profesor Madya Dr. Zuraina Ali, Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan, Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim, Shamsul Harbi, Sarah Hj Zulkiple, Marziah Ramli, Mardhiyyah Zamani, Kang Mei Feng, Dr. Azwin Arif Abdul Rahim, Dr. Nor Yazi Khamis, Dr. Fatimah Ali, Dr. Ezihaslinda Ngah, Dr. Wan Jumani Fauzi dan Zarina Mohd Ali.

Pensyarah PBM, Dr. Nor Yazi Khamis menyifatkan perarakan akademik merupakan simbol penghormatan institusi kepada para graduan. “Berada dalam perarakan akademik memberi kami peluang merasai kegembiraan graduan secara dekat dan mengingatkan kami tujuan sebenar kami mendidik,” tambahnya.

Bagi seluruh pasukan PBM, konvokesyen adalah detik yang menuntut disiplin dan komitmen. Walaupun tidak dirakam kamera, usaha setiap staf menjadi nadi kelancaran majlis yang istimewa ini. Segala kelelahan hilang apabila melihat graduan tersenyum dan keluarganya berbangga.

Di situlah setiap petugas dari PBM faham, sumbangan kecil mereka telah menghidupkan sebuah majlis yang menyulam ilmu dan peradaban sejajar dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG 4): pendidikan berkualiti demi masa depan generasi muda.

Di bawah cahaya lampu dewan,

Antara baris kata yang susun,

Tersembunyi doa dan harapan,

Buat anak-anak ilmu mengejar impian.

 

Disediakan oleh: Leong Hui Theng

Rujukan buku konvokesyen:

https://umpsa.edu.my/publication/convocation/Ebook%20Konvo%20UMPSA%20Ke-20.pdf