SAMBUTAN MAULIDUR RASUL OLEH WARGA PBM DI UMPSA
PEKAN, 9 September 2025 – Warga Pusat Bahasa Moden (PBM) telah menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul dengan penuh keinsafan. Perarakan menuju Masjid Al-Jazari dihiasi alunan selawat yang bergema, mengingatkan kita bahawa "mencintai Nabi adalah ketaatan, meneladani sunnahnya adalah kemuliaan."
Acara ini bukan sekadar perhimpunan malah menjadi medan memupuk kerjasama yang utuh. Setiap langkah yang sama-sama diatur sambil berselawat melambangkan perpaduan, persis nilai yang digariskan dalam tema: "Membangun Ummah Madani." Tema ini sungguh bertepatan dengan gagasan Malaysia MADANI, yang menyeru kita agar mengambil tauladan daripada akhlak Rasulullah SAW, khususnya dalam menerapkan nilai keadilan dan ihsan.
Warga PBM, segak berbusana hitam putih dan dihiasi sepanduk, membuktikan bahawa "semangat bermuafakat adalah kunci kepada kebahagiaan ummah." Kegembiraan yang terpancar menyerlahkan tekad mereka untuk terus berpegang pada ajaran Islam yang membawa rahmat.
Semoga acara sambutan Maulidur Rasul ini menjadi titik tolak untuk seluruh warga PBM memperbaharui azam dan menterjemahkan tauladan akhlak mulia Nabi dalam kehidupan seharian. Diharapkan semangat kerjasama dan perpaduan yang terjalin erat ini akan terus subur. Moga-moga nilai-nilai keadilan, ihsan, dan beradab yang ditekankan dapat mengukuhkan PBM sebagai institusi yang maju dari segi ilmu dan sahsiah, demi menjayakan gagasan Malaysia MADANI.
Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad