Official Website    

KELAB BAHASA JERMAN DAN BAHASA KOREA WARNAI HARI TERBUKA MAHASISWA UMPSA 2025

GAMBANG, 12 Oktober 2025 - Dua kelab bahasa baharu di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), iaitu Kelab Bahasa Jerman dan Kelab Bahasa Korea, mencipta sejarah apabila buat julung kalinya menyertai Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA 2025 yang berlangsung pada 11 dan 12 Oktober di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Kampus Gambang.

Penyertaan ini menjadi wadah penting bagi kedua-dua kelab untuk memperkenalkan keunikan bahasa dan budaya masing-masing kepada warga kampus serta pengunjung luar. Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan di reruai mereka, termasuk sesi pengenalan bahasa asas, kuiz budaya, serta permainan tradisional dan interaktif, yang mendapat sambutan hangat daripada pelajar dan pengunjung.

Menurut wakil Kelab Bahasa Jerman, penyertaan mereka bertujuan memupuk minat pelajar terhadap pembelajaran bahasa asing serta memperkenalkan keunikan budaya Jerman. Sementara itu, Kelab Bahasa Korea pula menonjolkan hubungan budaya melalui aktiviti tulisan Hangul dan pakaian tradisional Hanbok yang mencuri perhatian pengunjung.

Penglibatan aktif kedua-dua kelab ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pelajar, malah menyemarakkan semangat kesepaduan budaya dan keterbukaan antarabangsa di kampus. Usaha ini juga sejajar dengan aspirasi UMPSA dalam melahirkan graduan berfikiran global, berkemahiran bahasa dan peka terhadap kepelbagaian budaya antarabangsa.

Dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan, kedua-dua kelab ini dijangka terus berkembang dan memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana kampus yang dinamik, inklusif dan berbilang budaya di UMPSA.

 

Disediakan oleh: Amir Haikal Imran dan Zatul Amrah Mohammad Nazri