RUANG KARYA PELAJAR DI PUSAT BAHASA MODEN
PEKAN, 9 April 2025 - Usaha kreatif pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus menyerlah apabila sekumpulan pelajar daripada Kursus Bahasa Melayu Dokumentasi berusaha menghasilkan bahan bacaan yang berinspirasikan cerita-cerita dongeng diadaptasikan daripada situasi semasa untuk dijadikan sebagai bahan bacaan santai dan dipamerkan di sudut khas ruang bacaan karya pelajar di Pusat Bahasa Moden UMPSA.
Idea menghasilkan bahan bacaan ini adalah bermula dengan tujuan untuk mempamerkan bahan bacaan di reruai bahasa Melayu sempena Language Carnival & Culture 2024 (LCC 2024) yang lalu. Pelajar yang terlibat ialah para pelajar yang mengikuti kursus elektif Bahasa Melayu.
Melalui inisiatif ini para pelajar dapat memberi tumpuan kepada elemen dokumentasi bahasa, penulisan kreatif serta pemuliharaan warisan cerita rakyat dalam bentuk moden dan mudah diakses. Pelajar diberi kebebasan memilih tema cerita dan mengolahnya dalam bentuk buku yang lengkap dengan ilustrasi, rekaan muka surat dan teks yang sesuai untuk bacaan umum.
Menurut Cik Jamilah Bebe Mohamad, selaku tenaga pengajar, usaha ini bertujuan untuk memperkukuh penguasaan bahasa Melayu melalui penulisan kreatif, selain menanam minat terhadap dunia kesusasteraan dan dokumentasi bahasa. “Projek ini membuka ruang kepada pelajar bukan sahaja untuk menulis, tetapi dalam memahami nilai, simbol dan unsur budaya dalam cerita dongeng tempatan,” jelas beliau.
Selain itu, karya-karya tersebut juga membawa nilai penting dari sudut budaya dan emosi. Dengan menulis semula cerita dongeng, pelajar dilatih menyelami unsur identiti Melayu, simbolik bahasa dan nilai moral yang tersirat. Jika ditinjau melalui Teori Sosiolinguistik, proses ini memperlihatkan bagaimana bahasa, bukan sahaja sebagai alat komunikasi, tetapi juga sebagai wadah menyimpan dan menyampaikan budaya antara generasi kepada generasi seterusnya.
Inisiatif ini turut menyentuh Teori Konstruktivisme Vygotsky (1978) yang menekankan pembelajaran melalui pengalaman sosial dan interaksi dengan budaya sekeliling. Dalam kes ini, pelajar bukan hanya belajar daripada buku teks, tetapi melalui penciptaan, penceritaan dan perkongsian bersama rakan dan pembaca.
Menurut Nur Syafiqah Nabilah Che Mohamad dari Fakulti Komputer yang terlibat dengan inisiatif ini menyatakan bahawa beliau gembira dan tidak menyangka dapat menghasilkan karya-karya kreatif sebegini bersama rakan-rakan kelasnya. Selain itu, beliau terkejut dan sangat seronok kerana karya yang dihasilkan kini dipamerkan di Ruang Karya Pelajar di Pusat Bahasa Moden UMPSA. Ujarnya.
Semoga dengan adanya ruang ini, hasil-hasil karya pelajar dapat dikongsi dengan pelajar lain dan tidak hanya digunakan untuk pameran reruai LCC 2024. Usaha ini juga dilihat dapat menyokong amalan membaca dalam kalangan pelajar, contohnya ketika mereka sedang menunggu kelas bermula atau ketika waktu lapang.
Disediakan oleh: Cik Jamilah Bebe Mohamad