Official Website    

REVOLUSI PENDIDIKAN DIGITAL: GURU BAHASA KOREA PBM TEROKA INOVASI AI DAN CANVA DI PROGRAM SKOLAR NEXT LEVEL (SNL) TERENGGANU

KEMAMAN, 16 Julai – Selaras dengan arus pemodenan teknologi dalam dunia pendidikan, Program Skolar Next Level (SNL) Terengganu telah berlangsung di Dewan Sri Perdana, TVET Kemaman. Program intensif yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu dianjurkan oleh Skolar Malaysia bagi memberi pendedahan berimpak tinggi kepada para pendidik mengenai integrasi kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi interaktif dalam bilik darjah.

Program dimulakan dengan sesi ucaptama yang disampaikan oleh Pengasas Bersama Skolar Malaysia, Tuan Don Skolar, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Skolar Malaysia, Dr. Tazli Azizan.

Seterusnya, program diteruskan dengan konsep stesen pilihan yang memberikan fleksibiliti kepada peserta untuk memilih satu daripada tiga stesen inovasi yang disediakan pada setiap sesi. Setiap stesen menawarkan bengkel berkaitan pembinaan aplikasi menggunakan Gemini, pelaksanaan pengajaran yang lebih interaktif menggunakan ClassPoint serta penyediaan lembaran kerja pintar melalui NotebookLM.

Selain itu, peserta turut didedahkan dengan kaedah menghasilkan buku cerita menggunakan gabungan Canva dan AI, di samping mempelajari teknik membangunkan instrumen penilaian yang lebih autentik dan kalis manipulasi AI. Program ini bukan sekadar menekankan aspek teori, malah turut menguji kecekapan serta kreativiti peserta melalui pelaksanaan misi khas menggunakan pelbagai alatan digital dalam tempoh yang ditetapkan.

Staf Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Mahzaton Aqma binti Abu Talip yang merupakan Guru Bahasa Korea, tidak melepaskan peluang untuk menyertai program tersebut. Penyertaan beliau mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) agar lebih dinamik, interaktif dan relevan dengan keperluan pendidikan masa kini.

Secara keseluruhannya, Program SNL Terengganu berjaya memberi pendedahan kepada para pendidik mengenai potensi AI dan teknologi digital dalam memperkasakan pengajaran dan pembelajaran (PdP). Ilmu dan kemahiran yang diperoleh diharap dapat dimanfaatkan bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, kreatif dan relevan dengan keperluan pendidikan masa kini.

 

Disediakan oleh: Mahzaton Aqma Binti Abu Talip