PUSAT BAHASA UMPSA MEMPERKUKUH KUALITI KURSUS BAHASA MELALUI BENGKEL SEMAKAN KURSUS
PEKAN, 30 September 2025 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan Bengkel Semakan Kursus Bahasa Asing dan Bahasa Inggeris Semester 1 Sesi 2025/2026 yang berlangsung sehingga 2 Oktober 2025. Bengkel ini merupakan langkah strategik untuk menilai semula dan memperkukuh kualiti kursus Bahasa Asing dan Bahasa Inggeris, memastikan ia kekal relevan dan kompetitif di peringkat global. Inisiatif ini menghimpunkan staf akademik PBM dengan objektif utama meneliti semula struktur kursus, mengenal pasti aspek yang perlu ditambah baik, serta mengintegrasikan trend pendidikan bahasa terkini. Fokus perbincangan merangkumi:
- Integrasi Teknologi: Pemanfaatan platform digital dan aplikasi interaktif dalam pengajaran seperti platform KALAM UMPSA.
- Keperluan Industri: Memastikan modul memenuhi permintaan pasaran kerja selaras dengan kehendak industri pada masa akan datang.
- Pematuhan Piawaian: Mengikuti piawaian akreditasi nasional dan antarabangsa.
- Komunikasi Lintas Budaya: Penekanan untuk melahirkan graduan yang mahir bahasa dan kompeten dalam interaksi pelbagai budaya.
Sesi bengkel meliputi taklimat penilaian kursus, semakan modul secara terperinci, dan perbincangan mengenai Continuous Quality Improvement (CQI). Ahli bengkel turut mencadangkan penggunaan kaedah pengajaran berpusatkan pelajar dan pembelajaran berasakan penyelesaian masalah. Selain itu, bengkel ini merupakan platform utama untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui maklum balas berterusan.
Menurut Dr. Nor Yazi Khamis, Ketua Program Bahasa Asing, penganjuran bengkel ini memberi impak besar: “Bengkel Semakan Kursus ini bukan sahaja memastikan keberkesanan pengajaran, malah memberi jaminan bahawa graduan kita bersedia menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks dan berbilang bahasa.”
Kesimpulannya, hasil daripada Bengkel Semakan Kursus ini akan dirangka menjadi pelan tindakan konkrit untuk meningkatkan kualiti kursus bahasa di UMPSA, sekaligus melonjakkan daya saing graduan di pasaran kerja. Ini membuktikan komitmen berterusan PBM dalam menyediakan pendidikan bahasa yang progresif dan berkualiti tinggi.
Selamat Memulakan Semester Baharu.
Disediakan oleh: Mohamad Baihaqi Hasni & Jamilah Bebe Mohamad