PBM BAWA PULANG DUA KEMENANGAN DALAM SUKAN RAKYAT
PEKAN, 22 Oktober 2025 – Penyertaan Pusat Bahasa Moden (PBM) dalam sukan rakyat sempena Karnival Mahabbah Masjid Al-Jazari 2025 membuahkan hasil apabila kontinjen PBM berjaya meraih dua kemenangan tempat kedua masing-masing dalam acara tarik tali dan congkak.
Program anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMPSA yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Dataran Masjid Al-Jazari, Pekan menyajikan pelbagai permainan tradisional seperti boling kelapa, baling belon air, pancing botol, congkak, karom, memanah, tarik tali dan pertandingan motor paling lambat.
Kehangatan terasa ketika acara tarik tali berlangsung. Jeritan “Tarik! Tarik! Tarik!” bergema apabila lima wakil lelaki PBM iaitu Aizat, Azizul, Shahanor, Shafiq dan Shamsul berganding tenaga bersama beberapa pemain import dari jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA).
Pasukan ini mara hingga ke pusingan akhir selepas menewaskan pasukan dari Perpustakaan dengan keputusan 2 – 1. Dalam perlawanan akhir menentang pasukan dari Pusat Pembangunan dan Pengurusan, tenaga semakin berkurangan namun semangat kekal tinggi hingga ke detik akhir. Walaupun berakhir di tempat kedua, pasukan ini tetap diraikan atas kesepakatan mereka.
“Ini merupakan kali pertama saya menyertai acara tarik tali dan tidak menyangka kami berjaya meraih tempat kedua. Sepanjang pertandingan, ada yang menjerit memberi semangat hingga serak suara, namun suasananya sangat menyeronokkan. Semua ahli pasukan memberikan komitmen sepenuhnya, dan saat tali bergerak ke arah kami, perasaan puas itu sukar digambarkan.” kata Azizul Zainun sejurus perlawanan tamat.
Selaku ketua kontinjen, Muhamad Aizat Zulkifli turut berkongsi bahawa semangat berpasukan menjadi kunci kejayaan. “Kami berbincang strategi, memberikan sepenuh tenaga dan kekal positif hingga ke akhir. Paling penting, semua menikmati pertandingan dan saling menyokong.” katanya.
Sementara itu, di bawah khemah permainan congkak, Hanisah mencuri perhatian dengan ketenangan dan kecekapan di papan congkak. Beliau berjaya menewaskan lawan di pusingan awal dan mara ke peringkat akhir sebelum menamatkan saingan di tempat kedua.
“Saya tidak menjangka dapat mara sejauh ini kerana hanya bermain untuk suka-suka. Namun, pengalaman ini amat menyeronokkan selepas sekian lama tidak bermain congkak.” ujar Hanisah.
Dua kejayaan ini membawa kegembiraan buat seluruh warga PBM serta menjadi suntikan semangat untuk terus aktif dalam aktiviti sukan universiti. Tahniah kepada semua atlet PBM yang telah menghidupkan semangat sukan rakyat dengan gaya tersendiri.
Disediakan oleh: Leong Hui Theng, Shamsul Harbi