ONLINE ESCAPE ROOM DAN VR JOB INTERVIEW SIMULATOR
SINGAPURA, 3 OKTOBER 2025 - Program Mobiliti Staf 2025 anjuran Pusat Global Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA Global) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Bakat, Jabatan Pendaftar telah membuka ruang perkongsian ilmu dan inovasi antara UMPSA dan National University of Singapore (NUS) baru-baru ini.
Dalam program lima hari yang berlangsung dari 29 September hingga 3 Oktober 2025, wakil UMPSA, Dr. Umi Kalsom binti Masrom, Pensyarah Kanan dari Pusat Bahasa Moden (PBM), berpeluang menjalankan sesi perkongsian bersama staf Centre for English Language Communication (CELC) dan Centre for Teaching, Learning and Technology (CTLT) di NUS.
Program ini bertujuan memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta menggalakkan pertukaran amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa berasaskan teknologi. Dalam sesi bertajuk From Essay to Interviews: Using Digital Innovation to Teach Communication, beliau memperkenalkan inisiatif kandungan digital interaktif.
Antara yang menarik perhatian peserta ialah aktiviti Online Escape Room, yang menggabungkan unsur permainan dan penyelesaian masalah sebagai pendekatan inovatif dalam pengajaran bahasa. Peserta CELC dan CTLT turut berpeluang mencuba sendiri aktiviti tersebut dan melihat bagaimana ia boleh dilaksanakan untuk meningkatkan motivasi serta penglibatan pelajar.
Selain itu, mereka juga berpeluang mencuba /spi:x/, iaitu Virtual Reality (VR) Job Interview Simulator yang dibangunkan oleh PBM dan Fakulti Komputeran (FK) bagi membantu pelajar mempersiapkan diri menghadapi sesi temu duga kerja dalam persekitaran maya yang realistik. Usaha ini memperlihatkan komitmen UMPSA dalam menerapkan teknologi imersif bagi memperkasa kemahiran komunikasi profesional pelajar.
Peserta dari CELC dan CTLT memberikan maklum balas positif terhadap inovasi yang dikongsi dan menyatakan minat untuk meneroka peluang kerjasama masa hadapan, khususnya dalam bidang teknologi pendidikan, reka bentuk kursus digital, dan pengajaran berasaskan realiti maya.
Program ini bukan sahaja memperkukuh jaringan antarabangsa UMPSA, malah memperlihatkan keupayaan universiti dalam melahirkan tenaga akademik yang berfikiran global, kreatif, dan berdaya inovatif selaras dengan aspirasi Agenda Transformasi UMPSA 2025.
Disediakan oleh: Umi Kalsom Masrom