Official Website    

MERIAHNYA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PUSAT BAHASA MODEN 2025

Pekan, 19 April 2025 – Pusat Bahasa Moden (PBM) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PBM 2025 yang berlangsung dengan meriah di Pejabat Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Majlis ini diadakan sebagai wadah untuk meraikan kemeriahan bulan Syawal, serta mengeratkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan warga PBM dan komuniti kampus. 

Sambutan Hari Raya Aidilfitri di peringkat jabatan bukan sekadar acara sosial, malah menjadi ruang dan peluang untuk memperkukuh ukhuwah sesama warga kerja. Dalam Islam, Aidilfitri adalah hari kemenangan yang diraikan setelah sebulan menahan lapar, dahaga, dan hawa nafsu. Seperti yang disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 185: 

"...dan supaya kamu cukupkan bilangan (puasa) dan kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." 

Majlis kali ini turut menerapkan amalan perkongsian makanan, atau lebih dikenali sebagai "potluck", di mana setiap staf membawa juadah raya dari rumah masing-masing untuk dikongsi dan dinikmati bersama. Inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah menggalakkan semangat kebersamaan dan kekeluargaan dalam kalangan warga PBM. Pelbagai hidangan tradisional seperti rendang, ketupat, lemang, lontong, kuih-muih, dan manisan telah disediakan. Juadah yang dibawa turut menjadi lebih unik dengan adanya pelbagai masakan yang jarang ditemui kecuali pada musim perayaan, hasil sumbangan warga staf yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini. 

Selain itu, PBM turut menjemput warga kampus yang berhampiran dengan bangunan PBM di Pekan untuk memeriahkan lagi sambutan ini. Semoga Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini menjadi kesempatan bagi semua warga kerja PBM dan komuniti sekitarnya untuk lebih mengenali antara satu sama lain. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada seluruh warga Pusat Bahasa Moden. 

Disediakan oleh: Muhamad Aizat Bin Zulkifli & Jamilah Bebe binti Mohamad