Official Website    

MENYEMAI CINTA KEPADA HANGUL: BENGKEL KECEMERLANGAN BAHASA KOREA DI KOLEJ TUNKU KURSHIAH

BANDAR ENSTEK, 24 Oktober 2025 – Suasana di Bilik Bahasa Korea, Kolej Tunku Kurshiah (TKC) pada petang Jumaat lalu dipenuhi dengan semangat dan keceriaan apabila Bengkel Kecemerlangan Bahasa Korea – Cinta Kepada Hangul telah berlangsung dengan jayanya. Bengkel ini diadakan dari 2:30 petang hingga 5:30 petang dan disertai oleh seramai 30 orang pelajar TKC yang berminat untuk mendalami bahasa dan budaya Korea.

Program ini menampilkan penceramah jemputan dari Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), iaitu Cik Mahzaton Aqma Binti Abu Talip, seorang guru bahasa Korea yang mempunyai pengalaman dalam pengajaran dan pendekatan interaktif pembelajaran bahasa asing.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan ialah siri permainan berkonsepkan “Variety Show” popular Korea, termasuk "I Am Ground (아이엠그라운드 자기소개하기)", "Sense Game (눈치 게임)", dan "3-6-9 Game (삼육구 게임)". Permainan ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah bertujuan melatih pelajar memperkenalkan diri dalam bahasa Korea dengan yakin, menguji kepekaan sosial serta kebolehan membaca situasi (눈치), dan menggalakkan fokus serta kerjasama dalam kumpulan. Nilai moral yang diterapkan melalui permainan ini termasuk keyakinan diri, semangat berpasukan, tumpuan, dan komunikasi positif, iaitu elemen penting dalam pembelajaran bahasa secara holistik.

Selain itu, peserta turut berpeluang mempelajari kaligrafi Korea (서예), di mana mereka menulis aksara Hangul menggunakan pen kaligrafi khas. Aktiviti ini memperkenalkan pelajar kepada keindahan seni tulisan Korea, sambil menanamkan kesabaran, ketelitian dan rasa menghargai kehalusan seni budaya Korea.

Aktiviti origami Hanbok (한복) pula memberikan pengalaman unik kepada pelajar untuk mengenali pakaian tradisional Korea secara kreatif. Melalui lipatan kertas berbentuk Hanbok, pelajar bukan sahaja dapat memahami simbolik dan estetika budaya Korea, tetapi juga belajar tentang nilai menghormati warisan dan tradisi masyarakat lain.

Sebagai kemuncak bengkel, pelajar turut menyertai aktiviti nyanyian dan tarian lagu K-Pop, yang disambut dengan penuh keterujaan. Melalui aktiviti ini, pelajar didedahkan kepada unsur moden budaya Korea, sambil mempraktikkan sebutan dan intonasi bahasa Korea dengan cara yang menyeronokkan.

Guru Bahasa Korea Kolej Tunku Kurshiah, Puan Azmafatihah Binti Abdul Aziz, menyatakan bahawa bengkel ini telah memberikan impak positif kepada pelajar.

“Melalui pendekatan interaktif seperti ini, pelajar bukan sahaja belajar bahasa Korea dari segi teori, tetapi juga menghayati budaya dan nilai masyarakatnya. Saya melihat mereka lebih berani bertutur, lebih terbuka untuk belajar, dan semakin menghargai kepelbagaian budaya global,” ujar beliau.

Bengkel ini diakhiri dengan sesi penghargaan dan bergambar bersama penceramah serta para peserta. Program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform bagi pelajar untuk mendalami bahasa asing, membina keyakinan diri dan memperkukuh pemahaman silang budaya dalam suasana yang menyeronokkan dan bermakna.

 

Disediakan oleh: Mahzaton Aqma Binti Abu Talip