Official Website    

DARI MENARA ILMU KE DESA ILMU: PBM LAKSANA PROGRAM PROFESOR TURUN PADANG PERKASA LITERASI BAHASA INGGERIS MURID ORANG ASLI

CAMERON HIGHLANDS, 31 Oktober 2025 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan Program Profesor Turun Padang (PTP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Menson, Cameron Highlands, Pahang dengan kerjasama Pusat Hubungan Komuniti, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPNI), UMPSA.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif universiti untuk menghubungkan kepakaran akademik dengan komuniti setempat melalui aktiviti pembelajaran interaktif dan berimpak sosial.

Ia berperanan sebagai platform perkongsian ilmu secara langsung antara ahli akademik universiti dan masyarakat, dalam usaha memperkasa pendidikan dan memperluas manfaat kepakaran akademik ke peringkat akar umbi.

Bertemakan Words in Action: Outdoor Language Learning, program kali ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim, bersama pasukan yang terdiri daripada enam orang pensyarah, empat orang guru bahasa, dan seorang staf sokongan dari PBM. Program ini turut mendapat kerjasama tiga orang guru fasilitator daripada SK Menson dengan penyertaan 80 orang murid sekolah rendah.

SK Menson, sebuah sekolah Orang Asli (OA) di negeri Pahang, dipilih sebagai lokasi pelaksanaan bagi memberi peluang kepada murid kaum OA untuk merasai pengalaman pembelajaran bahasa Inggeris dalam suasana semula jadi yang lebih santai dan menyeronokkan.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran produktif bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah rendah dengan memanfaatkan objek dan elemen alam sekitar, selaras dengan tahap CEFR A1 dan A2. Selain itu, program ini turut mendedahkan murid kepada nilai tanggungjawab menjaga kelestarian alam sekitar.

PBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Badrul Hishan Mohd Tahir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Cameron Highlands, atas sokongan dan kehadiran beliau yang menyemarakkan semangat pelaksanaan program, dan kepada Asmadi Ahmad, Guru Besar SK Menson, atas kerjasama mesra dan sambutan baik yang diberikan oleh pihak sekolah sepanjang program berlangsung.

Program berakhir dengan sambutan positif daripada pihak sekolah dan peserta, mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh hubungan universiti–komuniti serta memperkasa pendidikan bahasa di peringkat akar umbi.

“Bagai aur dengan tebing, saling membantu, saling melengkapi.” Program ini mencerminkan semangat kerjasama erat antara universiti dan sekolah dalam usaha memperkasa pendidikan bahasa serta memupuk kecintaan terhadap ilmu dalam kalangan generasi muda.

 

Disediakan oleh: Muhamad Aizat Zulkifli, Hafizoah Kassim & Mohamad Musab Azmat Ali