Official Website    

LAWATAN PENANDA ARAS PBM: MEMPERLUAS ILMU EKSA DAN MENELUSURI PERSEKITARAN KONDUSIF DI MUIP

PEKAN, 15 Oktober 2025 – Satu kunjungan Lawatan Penanda Aras ke Ibu Pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pekan telah dilakukan oleh Pusat Bahasa Moden (PBM) dengan tujuan untuk memperkukuh pelaksanaan amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di jabatan ini.

Persekitaran kondusif membawa maksud suasana kerja yang selesa, tersusun dan menyenangkan, yang mampu meningkatkan produktiviti, semangat kerja serta imej profesional sesebuah organisasi. Sehubungan itu, lawatan ini bukan sahaja memberi pendedahan secara langsung kepada warga PBM tentang pelaksanaan amalan EKSA yang berkesan di MUIP, malah juga berfungsi sebagai penanda aras untuk menilai, membanding dan mengenal pasti kaedah pelaksanaan terbaik yang boleh diterapkan bagi penambahbaikan pelaksanaan di PBM.

Lawatan ini turut disertai oleh barisan jawatankuasa EKSA PBM yang diketuai oleh Penasihat EKSA, Dr. Nor Yazi binti Khamis, bersama Penyelaras EKSA, Puan Hanisah binti Bon (Kasbon). Turut hadir ialah Ketua Jawatankuasa Latihan, Encik Muhamad Aizat bin Zulkifli, Ketua Jawatankuasa Audit EKSA, Puan Nurul Nadia binti Muhammad, Ketua Jawatankuasa Keselamatan EKSA, Puan Farah Hanan binti Aminallah, serta tiga orang ahli EKSA PBM yang komited.

Program dimulakan dengan sesi taklimat oleh Encik Qumeyza Safwan bin Sulaiman, yang memperincikan pelaksanaan EKSA di jabatan berkenaan, merangkumi struktur organisasi, strategi pelaksanaan serta pendekatan inovatif dalam memastikan persekitaran kerja kekal teratur, bersih dan kondusif. Selepas sesi tersebut, peserta berpeluang mengikuti lawatan meninjau pelbagai ruang kerja di MUIP, termasuk bahagian pentadbiran, bilik mesyuarat dan kawasan awam yang menyerlahkan elemen keceriaan, keindahan serta kecekapan susun atur.

Melalui lawatan ini, warga PBM memperoleh peluang untuk menimba pengetahuan praktikal mengenai pengurusan persekitaran kerja secara sistematik, termasuk aspek kreativiti dalam dekorasi pejabat, penjimatan ruang dan kos, serta peningkatan imej korporat jabatan. Dr. Nor Yazi binti Khamis menegaskan bahawa dapatan tersebut akan dimanfaatkan sebagai penanda aras untuk pemantapan pelaksanaan EKSA di PBM secara berfasa dan berterusan.

Puan Hanisah binti Bon menekankan bahawa lawatan ini adalah langkah proaktif PBM dalam melaksanakan EKSA, berikutan ini adalah lawatan penanda aras pertama yang dijalankan oleh Unit EKSA PBM. Beliau berkata, “Melalui kunjungan ini, kami dapat mengenal pasti amalan terbaik yang boleh diterapkan di PBM, sekaligus memupuk budaya kerja yang lebih sistematik, bersih dan selamat. Ia juga menjadi pemangkin kepada strategi berterusan bagi memperkukuh disiplin EKSA di semua peringkat.”

Manakala Puan Farah Hanan binti Aminallah berpendapat bahawa disiplin EKSA secara langsung akan mengukuhkan aspek keselamatan tempat kerja iaitu melalui pengurusan laluan kecemasan yang jelas, pelabelan risiko dan bahan, penyimpanan peralatan yang teratur, kebersihan berjadual (housekeeping), serta audit pematuhan berkala. Hal ini akan mengurangkan bahaya, mempercepat tindak balas, dan melindungi warga kerja PBM.

Secara keseluruhannya, amalan EKSA di jabatan kerajaan bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti kerja, malah turut memupuk disiplin, semangat kerjasama dan kesedaran sivik dalam kalangan warga organisasi. Diharapkan lawatan ini menjadi pemangkin kepada usaha PBM dalam menjadikan tempat kerja lebih kondusif, sistematik dan mesra pelanggan, seiring dengan aspirasi UMPSA ke arah kecemerlangan perkhidmatan. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua wakil pihak MUIP iaitu Encik Qumeyza Safwan bin Sulaiman, (Pengerusi Majlis), Encik Ahmad Aman bin Mohd Saifuddin (Fasilitator) Puan Noraziah binti Hashim (Fasilitator) Puan Nor Shahida binti Abdul Halim (Setiausaha), Cik Nur Zulikha binti Salleh (Ketua Zon Abu Bakar As-Siddiq), Puan Norain binti Suhaimi (Wakil Ketua Zon Uthman bin Affan), Encik Mohd Syafiq bin Abdul Latif @ Baharudin (Wakil Ketua Zon Umar Al-Khattab), Puan Najihah binti Karim (Wakil Jawatankuasa Audit) dan Urus Setia iaitu Puan Safura binti Shodin, Puan Nurul Nadhirah binti Abu Ashari dan Puan Nurul Bariyah binti Mohd Razi

Pihak MUIP juga merakamkan penghargaan atas kunjungan ini dan turut membuka ruang kerjasama susulan seperti sesi latihan bersama, audit silang amalan EKSA, serta pembangunan bahan rujukan ringkas untuk memastikan penyeragaman standard dan penambahbaikan berterusan.

Sepakat membawa berkat,

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing;

Kerjasama erat asas muafakat,

Kejayaan bersama pasti disanjung tinggi.

 

Disediakan oleh: Muhamad Aizat Zulkifli & Jamilah Bebe Mohamad