Previous Next
">

LANGKAH MERDEKA: KEMPEN GAYA HIDUP SIHAT MERIAH

Unit Sukan dan Rekreasi dengan kerjasama Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pusat Bahasa Moden telah menganjurkan program Langkah Merdeka: Jalan Pagi Bersama Untuk Hidup Sihat & Ceria pada 15 Ogos 2024 bertempat di sekitar Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan. Program berkonsepkan gaya hidup sihat ini diadakan sejajar dengan inisiatif pelaksanaan Program Gaya Hidup Sihat di peringkat universiti dan pusat tanggungjawab di UMPSA.

Bersempena dengan sambutan minggu kemerdekaan, peserta hadir memberi sokongan dengan memakai pakaian sukan yang bertemakan warna kemerdekaan, seperti bertanjak bagi lelaki dan memakai tudung bercorak bendera Malaysia atau warna kemerdekaan bagi perempuan.

Program yang dihadiri oleh 25 orang staf dari PBM dan beberapa jabatan lain di UMPSA ini dimulakan dengan senaman ringan dan regangan otot di hadapan Dewan Kuliah Utama. Seterusnya, semua peserta berjalan bersama-sama mengelilingi tasik berhadapan perpustakaan universiti sambil membawa bendera kecil dan mengibarkan bendera dengan penuh semangat patriotik. Aktiviti yang berlangsung selama satu jam ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecergasan fizikal tetapi juga dapat mengeratkan hubungan antara staf dari pelbagai jabatan.

Program Langkah Merdeka: Jalan Pagi Bersama Untuk Hidup Sihat & Ceria ini telah berjaya mencapai objektifnya dengan sambutan positif daripada para peserta. Melalui aktiviti ini, staf bukan sahaja dapat menyemarakkan semangat kemerdekaan tetapi juga mendorong kepada amalan gaya hidup sihat demi mengekalkan kesihatan. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan yang lebih meluas, seterusnya menyokong inisiatif universiti dalam usaha melahirkan warga kerja yang sihat.

Penulis:
Syahrina binti Ahmad
Penyelaras
Unit Sukan dan Rekreasi, Pusat Bahasa Moden


Print   Email