KUNJUNGAN STRATEGIK KE KEMENTERIAN DESA DAN WILAYAH: MEMPERKASA GURU TABIKA KEMAS DALAM PENGAJARAN BAHASA INGGERIS
PUTRAJAYA, 21 November 2025 - Satu kunjungan rasmi telah diadakan ke Kementerian Desa dan Wilayah (KPLB) bagi membincangkan usaha memperkasa pengajaran bahasa Inggeris dalam kalangan kanak-kanak prasekolah, khususnya di TABIKA KEMAS. Kunjungan ini melibatkan pertemuan bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Encik Zairudin bin Mat Zuini, serta Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Puan Norliza binti Othman.
Kunjungan ini turut disertai oleh beberapa wakil akademik dan penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), iaitu Prof Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan, Dr. Wan Jumani Fauzi, Puan Siti Asma’ Yaacob serta Puan Aisyah Khaleeda Rosli. Tujuan utama perbincangan adalah untuk memperkenalkan serta membincangkan potensi penggunaan sebuah aplikasi pendidikan yang dibangunkan bagi membantu guru-guru mengajar bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
Aplikasi tersebut dinamakan My Thematic Storybook Series, iaitu sebuah aplikasi pembelajaran bahasa Inggeris berasaskan penceritaan tematik. Aplikasi ini merangkumi 17 tema pembelajaran, antaranya My Family, My Classroom, dan pelbagai tema lain yang dekat dengan kehidupan seharian kanak-kanak. Setiap tema dilengkapi dengan tujuh aktiviti interaktif yang direka khusus untuk menyokong perkembangan kemahiran bahasa kanak-kanak secara berperingkat dan menyeronokkan.
Selain pembentangan aplikasi, Prof. Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan dan Dr. Wan Jumani Fauzi turut membentangkan cadangan berkaitan program latihan profesional yang boleh dilaksanakan untuk guru-guru TABIKA KEMAS. Pembentangan ini memberi tumpuan kepada latihan pedagogi, pendekatan pengajaran Bahasa Inggeris yang berkesan, serta penggunaan bahan dan teknologi pendidikan bagi meningkatkan keyakinan dan kompetensi guru dalam bilik darjah. Dr. Jumani turut menghuraikan bentuk latihan dan sokongan yang boleh ditawarkan kepada pihak KEMAS bagi memastikan guru-guru dapat mengajar Bahasa Inggeris dengan lebih sistematik dan berkesan.
Encik Zairudin mengambil maklum mengenai aplikasi My Storybook: Thematic Story yang berpotensi membantu pengajaran Bahasa Inggeris kanak-kanak TABIKA KEMAS. Beliau juga menyambut baik cadangan latihan yang dibentangkan kerana latihan sebegini diakui penting untuk meningkatkan kompetensi guru-guru TABIKA KEMAS dalam penguasaan bahasa Inggeris.
Secara keseluruhannya, perbincangan ini membuka ruang kerjasama strategik antara pihak akademik dan Kementerian Desa dan Wilayah dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak, khususnya dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Diharapkan inisiatif ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada guru-guru TABIKA KEMAS serta kanak-kanak TABIKA KEMAS di seluruh negara.
Disediakan oleh: Siti Asma’ Yaacob, Prof Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan, Dr. Wan Jumani Fauzi & Aisyah Khaleeda Rosli.