Previous Next
">

KEMERIAHAN EKSA PUSAT BAHASA MODEN: JOM TONTON VIDEO KREATIF

14 Jun 2024 – Selaras dengan hasrat dan usaha universiti dalam pendekatan kampus lestari serta mesra alam, seluruh penghuni bangunan Pusat Bahasa Moden (PBM) telah disarankan menjadikan amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) sebagai amalan yang berterusan. EKSA merupakan penjenamaan semula amalan 5S yang berhasrat mewujudkan persekitaran tempat kerja yang berkualiti dan kondusif selain memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif. Matlamat dan hasrat ini hanya dapat dicapai dengan adanya kerjasama semua penghuni PBM dan usaha yang konsisten.

Hal ini demikian kerana persekitaran tempat kerja bukanlah ruang yang terhad kepada individu semata-mata tetapi melibatkan ruang yang dikongsi secara bersama dalam kalangan staf. Oleh yang demikian persekitaran tempat kerja yang berkualiti dan kondusif tidak dapat diwujudkan sekiranya amalan EKSA ini disasarkan kepada staf tertentu sahaja. Menurut penyelaras unit EKSA PBM Puan Hanisah Kasbon amalan EKSA di PBM semakin mendapat sambutan meriah dalam kalangan staf termasuk penglibatan pihak pengurusan tertinggi PBM. Perkembangan positif ini sudah semestinya memberikan impak yang baik bukan sahaja dalam mewujudkan persekitaran tempat kerja yang berkualiti bahkan menghasilkan kualiti kerja yang lebih baik. Pelaksanaan kempen terhadap amalan EKSA berlangsung sepanjang tahun, iaitu melalui media sosial PBM melalui penyebaran poster-poster yang interaktif. Seterusnya, kini amalan EKSA diceriakan dengan penglibatan staf dalam menghasilkan video-video kreatif untuk dipertandingkan di peringkat UMPSA.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Pihak Bahagian Jaminan Kualiti, Pusat Pengurusan Strategik & Kualiti yang bermula dari 21 Mei 2024 sehingga 14 Jun 2024. Terdapat tiga video kreatif telah dihasilkan oleh staf PBM yang mewakili zon Akasia, Azalea dan Dahlia PBM. Video ini mengetengahkan amalan-amalan EKSA tertentu yang boleh dijadikan panduan. Berikut merupakan link ketiga-tiga video tersebut,
i) https://vt.tiktok.com/ZSYAXCCwF/
ii) https://vt.tiktok.com/ZSYA9DUyB/
iii) https://vt.tiktok.com/ZSYAxUThT/ .

Menerusi penghasilan video-video kreatif ini para penonton disajikan dengan amalan EKSA yang disampaikan dengan pelbagai aksi lakonan yang kreatif oleh staf-staf PBM. Penyampai maklumat berdasarkan video adalah selaras dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih pada masa kini. Pelbagai maklumat dapat disebarkan sama ada bentuk teks, grafik , audio atau video dan boleh diakses pada bila-bila masa. Video berinformasi sebegini juga telah mulai menjadi salah satu elemen dalam pembangunan modal insan melalui paparan maklumat berbentuk gambar yang bersuara dan bergerak. Diharapkan video-video ini mendapat sambutan dan perkongsian positif daripada masyarakat media sosial dalam usaha menyebarkan amalan EKSA.

Jom amalkan EKSA untuk persekitaran tempat kerja yang lebih kondusif.

Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad


Print   Email