Official Website    

JOM SIHAT JOM CERGAS: EKSPEDISI KE AIR TERJUN PELANGI

Sungai Lembing, 23 Februari 2025 – Meskipun perlu meredah hujan yang membasahi bumi seawal jam 5.00 pagi, semangat sekumpulan staf Pusat Bahasa Moden (PBM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berserta rakan-rakan tetap membara untuk mengharungi ekspedisi mendaki Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing. Kemeriahan ekspedisi ini turut disemarakkan dengan penyertaan rakan-rakan staf daripada pelbagai jabatan seperti Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Pusat Teknologi Digital (DiTeC), Pusat Kerjaya, Centre for Languages and Pre-University Academic Development (CELPAD), LKPP Corporation Sdn. Bhd, Pusat Akreditasi Akademik dan Winfar Resources Sdn. Bhd.

Air Terjun Pelangi terletak lebih kurang 18 kilometer dari pekan Sungai Lembing. Selama beberapa generasi, rahsia keindahan destinasi ini tersembunyi dan hanya diketahui oleh penduduk kampung. Air Terjun Pelangi bukan sekadar destinasi indah tetapi juga sebuah fenomena alam yang memukau. Keunikan tujuh warna pelangi yang muncul dengan pancaran sinar mentari pagi, melengkung di sepanjang aliran air terjun yang setinggi 150 meter menobatkan tempat ini sebagai salah satu air terjun tercantik di Malaysia. Di bawahnya, aliran air jatuh dari ketinggian 600 meter menghasilkan pemandangan yang seakan dunia yang penuh dengan keajaiban.

Para peserta memulakan perjalanan dengan singgah sejenak di Bukit Sunrise bagi menikmati pemandangan matahari terbit di waktu pagi. Walaupun hujan membasahi tanah, pemandangan awan yang berarak memberi pesona yang tersendiri. Selepas itu, para peserta meneruskan perjalanan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) mengharungi hutan selama hampir sejam. Meskipun perjalanan tersebut mengambil masa lebih kurang 30 hingga 40 minit, tawa dan perbualan dalam kenderaan menyatukan hati para peserta. Menurut salah seorang peserta, Farah Liyana Ahmad Azmey, pengalaman ini bukan hanya menguji daya tahan, tetapi juga mengeratkan silaturahim di kalangan peserta di samping menikmati keindahan alam semulajadi.

Setibanya di destinasi, ekspedisi pendakian dimulakan pada jam 8 pagi. Para peserta perlu mengharungi denai bukit dan melintasi deras air sungai. Berbekalkan semangat yang tidak luntur, akhirnya para peserta berjaya tiba di puncak Air Terjun Pelangi pada jam 9.00 pagi. Segala kepenatan seakan hilang saat menyaksikan keindahan alam yang menakjubkan. Air terjun dengan pelangi yang membias di atasnya bagaikan lukisan alam yang tidak pernah pudar.

Menurut Pengarah Program, Puan Hanisah Kasbon (Bon), ekspedisi yang telah dirancang sejak awal bulan ini bukan hanya sekadar cabaran fizikal, tetapi juga untuk memperkukuh kerjasama dan mengeratkan hubungan sesama warga PBM dan rakan-rakan daripada jabatan lain yang menyertai program ini. “Ini adalah aktiviti gaya hidup sihat yang dapat membentuk keyakinan diri dan mengeratkan hubungan sesama staf. Selain itu, program ini dapat mendekatkan diri para peserta dengan keindahan alam semulajadi dan menjadi medium kepada mereka untuk berehat “healing” seketika. Semoga program-program seumpama ini dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa.” tambahnya.

Akhirnya, pada jam 11.00 pagi para peserta mula bergerak turun ke bawah. Keindahan alam semula jadi yang mempesona ini mengingatkan mereka bahawa dalam setiap perjalanan, bukan hanya destinasi yang penting, tetapi juga setiap langkah yang diambil bersama. Semoga pengalaman ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak langkah aktif dalam kehidupan setiap peserta, memberikan kesihatan yang baik dan ruang isitirehat yang menenangkan.

Dengan semangat yang baru, kita melangkah ke hadapan, siap untuk menghadapi segala cabaran yang mendatang.

Disediakan oleh: Jamilah Bebe Binti Mohamad & Leong Hui Theng

 jamilah bebe

 leong

Jamilah Bebe Mohamad

Guru Bahasa

Pusat Bahasa Moden

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Leong Hui Theng

Guru Bahasa

Pusat Bahasa Moden

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.