Official Website    

GLOBAL CLASSROOM ULK1312: PELUANG BERHARGA BUAT PELAJAR UMPSA MEMPELAJARI BAHASA KOREA BERSAMA PENSYARAH KOREA

PEKAN, 3 Jun 2025 - Bahasa Korea merupakan bahasa yang unik kerana mempunyai sistem tulisan tersendiri serta sebutan yang mudah diingati. Di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), kursus Bahasa Korea A1 ialah kursus baharu yang ditawarkan mulai Semester 2 Sesi 2024/2025 oleh Pusat Bahasa Moden (PBM). Para pelajar yang mendaftar bagi kursus ini meluahkan rasa teruja untuk menguasai bahasa yang popular dalam kalangan peminat gelombang 'K-Pop' dan 'K-Drama'. 

Melepasi pertengahan semester, para pelajar kursus Bahasa Korea A1 telah didedahkan dengan beberapa tatabahasa yang sesuai bagi komunikasi tahap permulaan. Dalam usaha mengukuhkan lagi pemahaman dan penguasaan pelajar, satu sesi Global Classroom bersama pensyarah jemputan dari Seoul National University, Profesor Kim In Kyu telah diadakan pada 3 Jun 2025 melalui platform Zoom. Profesor Kim In Kyu merupakan pensyarah bahasa Korea di Language Education Institute, Seoul National University dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa Korea. Pengalaman yang dimiliki oleh Profesor Kim In Kyu memenuhi objektif Global Classroom yang menekankan pendekatan pedagogi-teknologi-pelajar yang berkesan dan bernilai tambah tinggi. 

Melalui sesi Global Classroom ini, para pelajar didedahkan dengan cara yang betul dan berkesan menggunakan kata kerja dalam bahasa Korea. Professor Kim In Kyu menggunakan pendekatan yang sesuai dengan tahap pelajar melalui penggunaan gambar-gambar dan aplikasi yang menarik. Setiap pelajar diberi peluang untuk menjawab soalan yang dikemukakan dan berinteraksi secara langsung dengan Profesor Kim In Kyu. Rata-rata pelajar teruja dan berpuas hati dengan kelas bersama Profesor Kim In Kyu. Menurut Mohamad Nur Hafizhan, pelajar Tahun 1 Fakulti Komputeran, Profesor Kim In Kyu menggunakan teknik penyampaian yang mudah difahami dan beliau berasa bertuah kerana berpeluang menyertai sesi Global Classroom tersebut.  

Menerusi sesi ini, jelas menunjukkan bahawa Global Classroom merupakan satu program berimpak tinggi yang memberikan peluang pembelajaran daripada perspektif global, bukan sahaja kepada pelajar, malah juga kepada tenaga pengajar. Program-program sebegini membuka mata dan minda pelajar tentang keindahan dan keunikan bahasa-bahasa asing di seluruh dunia. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar lebih ramai pelajar mendapat manfaat dan pendedahan antarabangsa yang mampu memperkaya pengalaman pembelajaran mereka. 

Disediakan oleh: Zatul Amrah Mohammad Nazri