Previous Next
">

BENGKEL STAF PENTADBIRAN PUSAT BAHASA MODEN UMPSA 2024

PUSAT BAHASA MODEN, 17 Julai 2024 – Unit Pentadbiran Pusat Bahasa Moden (PBM) telah menganjurkan Bengkel Pemurniaan MyPortfolio dan Audit Perjawatan Unit Pentadbiran PBM bertempat di hotel Grand Darul Makmur, Kuantan. Bengkel ini dihadiri seramai 8 orang staf pentadbiran PBM yang diketuai oleh Puan Norashikin Sulaiman. Menurut Puan Norashikin, bengkel ini merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan untuk meningkatkan prestasi dan keupayaan staf pentadbiran dalam memahami dan mengambil tindakan yang lebih progresif dalam melaksanakan tanggunjawab masing-masing. Hal ini juga selaras dengan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 4 Tahun 2018, iaitu hasrat kerajaan untuk menjadikan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berteraskan budaya dan nilai positif, inovasi serta kreativiti perlu sentiasa ditambah baik dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Umum mengetahui bahawa myPortfolio merupakan dokumen rujukan pada peringkat jawatan dan jabatan. Setiap jawatan dalam sesebuah agensi hendaklah mempunyai MyPortfolio termasuk jawatan yang belum diisi. Selain itu, MyPortfolio juga berasaskan bidang tugas dan tanggungjawab jawatan yang mengandungi maklumat, panduan dan rujukan dalam mengendalikan tugas yang ditetapkan bagi sesuatu jawatan. Dokumen rasmi sebegini lazimnya mengandungi bahan-bahan rasmi dan penjelasan rasmi yang boleh dirujuk sebagai garis panduan.

Oleh yang demikian bengkel my Portfolio ini akan menjadi medium kepada semua staf pentadbiran untuk sama-sama berbincang, melengkapkan dan memperkemaskan dokumen myPortfolio masing-masing. Semua maklumat dan audit perjawatan yang sedia ada akan diteliti semula sebelum dikemaskini mengikut garis panduan terkini atau sebarang perubahan yang berlaku. Dengan itu myPortfolio semua staf pentadbiran akan sentiasa dalam keadaan yang telah dikemaskini dengan penjelasan beban tugas yang terancang dan lebih difahami. Selain itu, myPortfolio juga merupakan dokumentasi bentuk visual yang boleh ditampilkan sebagai rujukan pihak lain terhadap sesuatu perjawatan atau petugas.

Selain itu, bengkel yang diadakan ini juga menjadi medium mengeratkan silaturahim dalam kalangan staf pentadbiran untuk berkerja sebagai satu pasukan untuk saling melengkapi dan lebih bertoleransi. Bengkel yang diadakan dengan suasana yang berbeza berbanding suasana rutin harian kerja ditempat yang sama juga merupakan galakan dan sebagai perangsang untuk menjadi seorang pekerja yang lebih berketerampilan pada masa akan datang. Motivasi dan galakan sebegini juga akan melahirkan pekerja yang bukan sahaja kompeten dalam tugas hakikinya tetapi memiliki rasa gembira untuk terus bekerja. Pekerja yang gembira akan menjadikan sesebuah organisasi itu berkembang lebih maju.

Perkara ini turut diakui oleh Muhammad Aizat Zulkifli apabila beliau mengatakan peluang mengadakan bengkel diluar pejabat serta keluar dari rutin harian bekerja menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Menurutnya, beliau dan rakan-rakan staf pentadbiran bersyukur dengan perkembangan mereka dalam mengemaskini myPortfolio masing-masing. Peluang ini juga dimanfaatkan oleh mereka untuk meluangkan masa bersama-sama, bergurau senda serta bertukar pendapat mengenai tugasan mereka. Beliau sangat gembira dan berharap bengkel sebegini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

Semoga budaya kerja positif seperti pelaksanaan bengkel ini dapat diteruskan di PBM dalam kalangan semua warga PBM.

Disediakan oleh: Suriayati binti Mohd Sidek & Jamilah Bebe binti Mohamad


Print   Email