BENGKEL SEMAKAN KURSUS JABATAN BAHASA ASING: MENYUSUN LANGKAH MENUJU KECEMERLANGAN PENDIDIKAN
PEKAN, 27 Februari 2025 – Dalam usaha berterusan memperbaharui kurikulum dan meningkatkan kaedah pengajaran, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Bengkel Semakan Kursus (Course Review Workshop - CRW) bagi Semester II, Sesi 2024/2025. Bengkel yang diadakan di Jabatan Bahasa Asing berlangsung selama empat hari, bermula 24 hingga 27 Februari 2025, bertempat di Bilik Mesyuarat PBM. Tujuan utama bengkel tersebut adalah untuk menilai, memperbaiki dan mengemaskini kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta bahan pengajaran yang digunakan sepanjang semester ini bagi semua program ijazah sarjana muda dan asasi.
Bengkel ini berfungsi sebagai platform bagi guru bahasa untuk berbincang dan menyelaraskan maklumat kursus untuk memastikan ia memenuhi piawaian yang ditetapkan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. Pada hari pertama, Ketua Jabatan Bahasa Asing, Dr. Wan Jumani binti Fauzi memberi taklimat kepada semua guru bahasa. Dalam taklimat tersebut, beliau menekankan kepentingan bengkel ini serta memberi penerangan tentang pelaksanaan kerja sepanjang bengkel dan program Corporate Social Responsibility (CSR) dalam konteks pendidikan.
Inisiatif Digital dalam P&P: “TikTok Tutor”
Staf akademik di PBM termasuk pensyarah dan guru bahasa dari Jabatan Bahasa Inggeris serta Jabatan Bahasa Asing turut diberi taklimat mengenai isu-isu semasa dalam P&P oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Dr. Fatimah binti Ali. Satu inisiatif baharu yang menarik turut dibentang oleh Ketua Unit Perkhidmatan Sokongan Bahasa, Puan Azimah binti Ahmad Zaki bersama Ketua Unit Dokumentasi dan Media Sosial, Puan Rosnani binti Ismail. Mereka memperkenalkan projek “TikTok Tutor” yang bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran menggunakan pendekatan digital.
Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) Meningkatkan Komitmen Sosial
Sebagai respon kepada cabaran pendidikan masa kini, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia telah memperkenalkan inisiatif Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang berteraskan beberapa rangka kerja penting seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 dan Buku Panduan Amalan Pendidikan Berimpak Tinggi (High-Impact Educational Practices - HIEPs). SULAM bertujuan untuk membina graduan yang bertanggungjawab sosial dan menjadi petunjuk prestasi utama bagi universiti. Oleh itu, taklimat berkaitan SULAM turut diberikan dalam bengkel ini untuk memberi pendedahan dan pemahaman lebih lanjut kepada para pensyarah dan guru bahasa.
Perbincangan dan Penambahbaikan Kurikulum
Pada 25 hingga 26 Februari, para guru bahasa terlibat aktif dalam sesi perbincangan dan interaksi antara ahli pasukan mengikut bidang bahasa masing-masing. Hasil daripada perbincangan ini termasuk pengemaskinian Perancang Mingguan (Weekly Planner), penyediaan dokumen lengkap COPPA (Table 4) serta pengubahsuaian bahan pengajaran dan modul untuk setiap kursus. Laporan CRW yang disediakan pula menjadi rujukan penting untuk penambahbaikan kurikulum dan pendekatan pengajaran pada masa akan datang. Semasa bengkel dijalankan, guru bahasa turut berkongsi kaedah pengajaran yang berkesan. Perkongsian tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka, tetapi juga menjadi panduan untuk memastikan pembelajaran bahasa asing lebih menarik dan bermakna bagi para mahasiswa UMPSA.
Pembentangan Hasil CRW
Pada 27 Februari, bengkel ini disempurnakan dengan pembentangan hasil CRW oleh penyelaras kursus masing-masing. Metodologi dan bahan pengajaran yang telah disemak semula dibentangkan. Sesi ini turut mencerminkan dedikasi dan komitmen tinggi guru Bahasa PBM dalam memastikan kualiti pendidikan yang berterusan. Dr. Wan Jumani binti Fauzi selaku Ketua Jabatan Bahasa Asing turut meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan bengkel ini dengan menyatakan, “CRW ini adalah langkah penting dalam memastikan keberkesanan program kami. Ia memberi peluang kepada staf akademik untuk berbincang, berkongsi pendapat dan memperbaharui kurikulum mengikut perkembangan terkini. Dengan kerjasama erat antara semua pihak, kami bertekad untuk terus meningkatkan kualiti pengajaran dan memastikan kursus yang ditawarkan sentiasa relevan dengan perubahan dalam dunia pendidikan dan pasaran pekerjaan.”
Meneruskan Perkembangan Pendidikan Proaktif
Secara keseluruhannya, hasil daripada Bengkel Semakan Kursus ini dijangka akan menghasilkan perubahan yang signifikan dalam kaedah pengajaran serta meningkatkan pengalaman pembelajaran para mahasiswa dan mahasiswi. Kejayaan bengkel ini menjadi bukti nyata kepada pendekatan proaktif PBM dalam merangka inovasi pendidikan yang sejajar dengan perkembangan terkini sambil memperkukuh komitmen untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompleks.
Disediakan oleh: Leong Hui Theng , Aaron Gan Yu Cheng & Jamilah Bebe binti Mohamad
Leong Hui Theng
Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Aaron Gan Yu Cheng
Pelajar Latihan Industri (Guru Bahasa)
Pusat Bahasa Moden
Jamilah Bebe Mohamad
Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.