BENGKEL PEMURNIAN KURSUS PRASISWAZAH PBM SEMESTER 1 2026/2027 PERKUKUH KUALITI DAN KESELARASAN AKADEMIK
PEKAN, 15 September 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Bengkel Pemurnian Kursus Prasiswazah PBM Semester 1 Sesi Akademik 2026/2027 selama dua hari pada 14 dan 15 September 2026 bertempat di PBM, Kampus Pekan.
Bengkel ini menghimpunkan staf akademik PBM dalam usaha memperkemas perancangan, pelaksanaan dan dokumentasi kursus bagi memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran bagi semester baharu dapat dilaksanakan secara tersusun, selaras serta memenuhi keperluan akademik dan jaminan kualiti.
Hari pertama bengkel pada 14 September 2026 dimulakan dengan Taklimat Ringkas Bengkel Pemurnian yang disampaikan oleh Dr Nor Yazi Khamis, Ketua Jabatan Bahasa Asing. Dalam taklimat tersebut, beliau menekankan kepentingan memastikan setiap perancangan yang dibuat tidak terhenti pada peringkat idea, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan dan pelaksanaan yang jelas. Sebagai peringatan mesra kepada semua staf akademik tentang kepentingan persediaan kursus yang rapi, beliau turut mengetengahkan petikan kata-kata oleh Henry Ford, “Vision without execution is just hallucination.”, yang menggambarkan bahawa visi dan perancangan perlu disusuli dengan tindakan yang berkesan bagi menghasilkan perubahan dan pencapaian yang dihasratkan.
Sesi kemudiannya diteruskan dengan Perbincangan Berkumpulan Mengikut Kursus secara dalam talian. Sesi pagi melibatkan perbincangan kursus-kursus di bawah Jabatan Bahasa Inggeris (JBI) seperti English for Academic Communication (EAC), English for Technical Communication (ETC) dan English for Professional Communication (EPC), serta kursus-kursus di bawah Jabatan Bahasa Asing (JBA) seperti Arabic A1, Korean A1, Bahasa Melayu Dokumentasi dan Japanese A1.
Pada sebelah petang, perbincangan diteruskan dengan beberapa lagi kursus seperti Fundamentals of English Language, English for Vocational Purposes (EVP), Essential English (EE) dan kursus elektif. Perbincangan berkumpulan ini menjadi ruang kepada staf akademik untuk meneliti keperluan pemurnian kursus, menyelaras pelaksanaan serta berkongsi pandangan berkaitan pengajaran dan pembelajaran.
Pada hari kedua iaitu 15 September 2026, bengkel dimulakan dengan Pembentangan Hasil Pemurnian Kursus Prasiswazah PBM Semester 1 2026/2027 yang melibatkan semua staf akademik. Sesi ini memberi peluang kepada setiap kursus untuk membentangkan perancangan masing-masing serta mendapatkan pandangan dan maklum balas bagi memastikan penyelarasan kursus dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Sesi pembentangan ini turut merangkumi Ucapan Aluan oleh Profesor Madya Dr Zuraina Ali, Dekan PBM. Dalam ucapan tersebut, beliau menekankan bahawa bengkel pemurnian kursus bukan sekadar aktiviti rutin untuk menyemak atau mengemas kini dokumen kursus, sebaliknya merupakan wadah penting untuk menilai semula dan memperhalusi kursus agar sentiasa relevan dengan keperluan semasa pelajar, program serta tuntutan industri.
Beliau turut menegaskan kepentingan memastikan kandungan kursus, hasil pembelajaran kursus (CLO), kaedah pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran mempunyai kesinambungan yang jelas dan dapat diterjemahkan dengan baik dalam pelaksanaan sebenar. Menurut beliau, perkara yang dirancang dalam dokumen kursus perlu selari dengan apa yang dilaksanakan di dalam bilik kuliah. Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa kualiti akademik merupakan tanggungjawab bersama seluruh warga akademik PBM. Sehubungan itu, staf akademik diingatkan supaya memastikan dokumentasi berkaitan sentiasa lengkap dan teratur sebagai persediaan menghadapi Audit Pemantauan MS ISO 9001:2015 oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. pada 23 September 2026.
Pada sebelah petang pula, bengkel diteruskan lagi dengan agenda Pemakluman e-Fail Kursus Semester 1 2026/2027 oleh Unit Jaminan Kualiti (UJK) dalam memastikan pematuhan kualiti tetap diutamakan oleh staf akademik PBM. Antara intipati penting yang digariskan oleh UJK ialah keseragaman kandungan dan garis masa prosedur pengurusan e-Fail Kursus, keseragaman borang vetting assessment serta pelan koordinasi kursus.
Setelah itu, bengkel diteruskan dengan Taklimat Akademik Semester 1 2026/2027 yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr Noor Raha Mohd Radzuan, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, PBM. Taklimat tersebut memberikan gambaran serta panduan berkaitan perkara-perkara akademik yang perlu diberi perhatian bagi memastikan kelancaran pelaksanaan semester baharu.
Agenda terakhir dalam bengkel ini ialah Mesyuarat Jabatan Bahasa Inggeris yang dipengerusikan oleh PM Dr Noor Raha Mohd Radzuan serta Mesyuarat Jabatan Bahasa Asing yang dipengerusikan oleh Dr Nor Yazi Khamis.
Secara keseluruhannya, Bengkel Pemurnian Kursus Prasiswazah PBM Semester 1 2026/2027 bukan sahaja menjadi platform untuk menyelaras kursus dan dokumentasi akademik, malah memperkukuh budaya penambahbaikan berterusan dalam kalangan staf akademik PBM. Perbincangan dan perkongsian yang berlangsung sepanjang dua hari ini diharapkan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang lebih sistematik, relevan dan berkesan alam mencapai hasil pembelajaran pelajar.
Penganjuran bengkel ini sekali gus mencerminkan komitmen PBM terhadap kecemerlangan akdemik melalui perancangan kursus yang teliti dan penambahbaikan berterusan bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran sentiasa memenuhi keperluan pelajar serta matlamat program bagi Semester 1 Sesi Akademik 2026/2027.
Disediakan oleh: Nur Anisnabila Dianah & Farah Hanan Aminallah