STAF PBM MERIAHKAN PERARAKAN MERDEKA 2025 BERSAMA WARGA UMPSA
KUANTAN, 31 Ogos 2025 – Empat orang staf Pusat Bahasa Moden (PBM) telah menyertai Perarakan Bulan Kemerdekaan yang berlangsung penuh meriah di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK1) dan Dataran Bandar Pekan Pahang. Mereka ialah Puan Hamizah Zahari, Puan Noraishah Nurul Fatwa Mohd Razali dan Cik Jamilah Bebe Mohamad, dan serta turut disertai oleh staf baharu PBM, Cik Leong Hui Theng dalam kontinjen UMPSA.
Kesemua mereka berganding bahu bersama 62 warga UMPSA dan 3 orang pelaar dalam pasukan kontinjen UMPSA yang terbahagi kepada dua pasukan iaitu satu pasukan di Kuantan dan satu pasukan di Pekan. Acara ini telah melalui sesi latihan dan raptai penuh selama dua hari sebelum perarakan rasmi berlangsung seawal jam 5.00 pagi.
Menurut Leong Hui Theng, ini merupakan pengalaman pertama beliau menyertai Perarakan Bulan Kemerdekaan bersama UMPSA. “Saya berasa sangat teruja kerana dapat turut serta bersama rakan-rakan UMPSA dalam acara yang penuh makna ini. Melihat ribuan rakyat pelbagai kaum berhimpun dengan semangat patriotik memberi inspirasi kepada saya untuk lebih menghargai nikmat kemerdekaan dan perpaduan yang kita kecapi,” ujarnya.
Sambutan kali ini turut menjadi sejarah tersendiri buat UMPSA apabila Naib Canselor baharu Profesor Dr. Yatimah Binti Alias, buat pertama kalinya menyaksikan perbarisan kontinjen UMPSA secara langsung. Kehadiran beliau memberikan suntikan semangat kepada semua peserta kontinjen, termasuk staf PBM yang merasa bangga dapat beraksi di hadapan kepimpinan tertinggi universiti.
Perarakan tahun ini diadakan bersempena tema Hari Kebangsaan “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”, yang menyerlahkan aspirasi perpaduan, keharmonian dan kekuatan bangsa Malaysia. Penglibatan staf PBM ini mencerminkan semangat Malaysia MADANI dalam bekerja. Meskipun hari cuti umum, mereka tetap sanggup turun padang seawal pagi untuk berbaris bersama kontinjen universiti. Tindakan ini menzahirkan sikap tanggungjawab, kesukarelawanan, toleransi dan kerjasama yang menjadi asas kepada budaya kerja MADANI.
Lebih membanggakan, kontijen UMPSA yang turut disertai oleh dua orang staf PBM memenangi tempat ketiga Perarakan Jalan Kaki Komponen 4 kategori Kontijen Pewaris Bangsa sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 yang diketuai oleh Encik Mohammad Hafizi bin Ali dengan sokongan latihan Encik Mohd Rosli bin Harun dari Pusat Keselamatan. Semoga kemenangan ini terus menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan semua warga UMPSA dan PBM.
Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad