Official Website    

PUSAT BAHASA MODEN PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK UMPSA-MINDEF MENERUSI MOD WORK-BASED LEARNING

GAMBANG, 28–30 Januari 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya dalam menyokong agenda pendidikan dan pembangunan profesional menerusi penglibatan dalam Program Kerjasama Akademik UMPSA-MINDEF menerusi Mod Work-Based Learning.

Kerjasama ini bertujuan menyediakan peluang pengajian di peringkat Diploma kepada anggota keselamatan, khususnya warga ketenteraan, dengan mengiktiraf serta menyetarakan pengalaman kerja, kompetensi dan kursus-kursus yang telah diikuti dengan keperluan akademik program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Occupational Safety and Health – OSH) yang ditawarkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA.

Dalam kerjasama ini, PBM diwakili oleh Encik Mohd Shafeirul Zaman bin Abd Majid dan Cik Sarah binti Zulkiple bagi menyokong aspek perkhidmatan bahasa serta keperluan akademik yang berkaitan dengan pelaksanaan program.

Program kerjasama ini dijangka melibatkan pelbagai bidang perkhidmatan dalam tiga cabang utama Angkatan Tentera Malaysia, iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bagi Tentera Darat, bidang yang terlibat antaranya merangkumi Pembuatan, Kembalik, Persenjataan, Elektronik, Automotif, Pasukan Udara Tentera Darat, Infantri, Kor Perkhidmatan Diraja, Kor Kesihatan Diraja, Rejimen Askar Jurutera Diraja, Rejimen Artileri Diraja, Kor Ordnans Diraja serta Grup Gerak Khas.

Sementara itu, bagi Tentera Laut, penglibatan merangkumi bidang seperti Penyelam Ranjau dan Pasukan Khas Laut (PASKAL), manakala bagi Tentera Udara, antara bidang yang dikenal pasti termasuk Bomba dan Kejuruteraan.

Pendekatan Work Based-Learning yang diterapkan menerusi kerjasama ini memberikan ruang untuk pengalaman dan kompetensi yang diperoleh anggota sepanjang perkhidmatan profesional diiktiraf dalam kerangka pendidikan tinggi secara lebih sistematik.

Pendekatan ini juga dapat menghubungkan pengalaman sebenar di tempat kerja dengan pengetahuan dan kemahiran akademik yang diperlukan dalam bidang OSH.

Penglibatan PBM dalam inisiatif ini turut mencerminkan komitmen pusat berkenaan dalam menyokong pelaksanaan akademik rentas bidang, di samping menyediakan sokongan kepakaran bahasa yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran golongan profesional dan anggota keselamatan.

Kerjasama strategik antara UMPSA dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) ini diharapkan dapat menyediakan laluan pendidikan tinggi yang lebih fleksibel kepada anggota keselamatan, di samping mengiktiraf pengalaman, kemahiran dan kompetensi yang telah dibangunkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Pada masa yang sama, inisiatif ini selaras dengan aspirasi UMPSA untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi berasaskan pengalaman dan keperluan industri, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai institusi pendidikan yang responsif terhadap keperluan pembangunan modal insan negara.

 

Disediakan oleh: Mohd Shafeirul Zaman & Sarah Zulkiple