PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU BERASASKAN PENGALAMAN PELANCONGAN
Pengajaran Bahasa Melayu kini mengalami satu transformasi inovatif dengan pengenalan pendekatan berasaskan simulasi situasi di lapangan terbang. Pendekatan ini direka khas untuk menarik minat pelajar antarabangsa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta pelajar sekolah di kawasan sekitar. Melalui sesi pengajaran yang interaktif dan kontekstual ini, pelajar didedahkan kepada penggunaan bahasa dalam situasi sebenar yang praktikal, sekaligus meningkatkan kefahaman dan kemahiran komunikasi mereka dalam Bahasa Melayu.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkenalkan kosa kata dan ayat-ayat utama dalam komunikasi semasa melancong, terutamanya ketika berada di lapangan terbang, malah memberi peluang kepada peserta untuk mengalami sendiri suasana dan interaksi sebenar yang mungkin mereka hadapi sekiranya ingin melancong ke luar negara atau tiba di Malaysia.
Sebagai simbolik kepada proses mendaftar masuk di lapangan terbang, semua peserta dikehendaki mendaftarkan diri sebelum bengkel bermula. Setiap peserta dibekalkan dengan satu set alat pembelajaran interaktif, yang terdiri daripada pasport rekaan, tiket penerbangan, serta helaian pembelajaran yang memuatkan frasa-frasa penting dalam Bahasa Melayu, termasuk simpulan bahasa, peribahasa yang merujuk kepada situasi pelancongan. Aktiviti ini memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu dalam konteks dunia sebenar.
Pendekatan pengajaran ini selaras dengan Teori Pemerolehan Bahasa Kedua oleh Stephen Krashen (1981), yang menekankan kepentingan pendedahan kepada input bahasa yang boleh difahami dalam persekitaran yang kurang tekanan, terutamanya bagi pelajar antarabangsa. Bagi pelajar sekolah, pendekatan ini selaras dengan prinsip Pembelajaran Berasaskan Pengalaman oleh David Kolb (1984), di mana pembelajaran menjadi lebih berkesan apabila pelajar terlibat secara aktif dalam pengalaman sebenar. Melalui simulasi situasi di lapangan terbang, pelajar yang belum pernah menaiki kapal terbang berpeluang mencipta pengalaman peribadi yang bermakna, sekaligus memperkukuh pemahaman mereka dalam Bahasa Melayu.
Selain itu, sesi ini menunjukkan bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu boleh dipelajari dengan lebih berkesan melalui pendekatan yang menyeronokkan dan autentik. Penggunaan elemen seperti hiasan bendera Malaysia, bahan interaktif berkaitan makanan tradisional, dan suasana simulasi yang mendekati realiti bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelajar antarabangsa, malah memberi pendedahan bermakna kepada pelajar sekolah. Keseluruhan pendekatan ini menjadikan pembelajaran lebih relevan, menyeronokkan, dan bebas tekanan.
Frasa utama seperti ayat tanya mengenai harga, arah, dan ucapan selamat dipraktikkan secara langsung seolah-olah berada di lapangan terbang. Lembaran nota dan latihan yang mengandungi simpulan bahasa serta peribahasa, khususnya untuk pelajar sekolah, membantu memperkukuh dan meluaskan pengetahuan bahasa mereka berdasarkan pembelajaran terdahulu di peringkat sekolah. Pendekatan ini selari dengan prinsip Pembelajaran Berasaskan Pengalaman oleh Kolb (1984), yang menekankan penglibatan aktif pelajar untuk meningkatkan kemahiran bahasa dalam pelbagai konteks.
Dalam era globalisasi ini, kemahiran berbahasa Melayu yang praktikal amat penting bagi pelajar untuk kekal releven berdaya saing di semua peringkat . Kemahiran berbahasa Melayu juga selaras dengan hasrat dan dasar kerajaan seperti Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), serta Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, dan bahasa komunikasi yang mampu bersaing serta digunakan di peringkat serantau dan antarabangsa. Selain itu, pendekatan ini mampu mendukung usaha memperkukuh peranan Bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau ASEAN.
Berdasarkan hasil keberkesanan kaedah ini, pembelajaran bahasa Melayu berasaskan pengalaman mungkin dapat di perluaskan kepada pelabagai konteks lain seperti restoran, hotel, hospital, stesen pengangkutan awam, pusat sukan dan pusat pelancongan. Langkah pembelajaran sebegini diharap dapat memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan komunikasi dalam pelbagai sektor.
Akhir sekali, marilah kita menghayati peribahasa "jauh berjalan, luas pandangan" yang membawa maksud bahawa semakin banyak tempat dilawati, semakin luas ilmu dan pengalaman yang diperoleh. Dalam masa yang sama, simpulan bahasa "buka mata" mengingatkan kita bahawa setiap perjalanan adalah peluang untuk menambah pengetahuan dan memperluas kesedaran melalui pengalaman dan pemerhatian yang bermakna.
Disediakan oleh: Jamilah Bebe Binti Mohamad