Official Website    

PELAJAR UMPSA MENGAMBIL PEPERIKSAAN BAHASA JERMAN TAHAP B1 DI GOETHE-INSTITUT, KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 16 Disember 2025 – Sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) daripada Program Ijazah Dual telah menduduki peperiksaan Bahasa Jerman tahap B1 yang dianjurkan oleh Goethe-Institut.

Pelajar-pelajar tersebut terdiri daripada tiga program kejuruteraan utama, iaitu Kejuruteraan Mekatronik (Mechatronics Engineering), Kejuruteraan Automotif (Automotive Engineering) dan Kejuruteraan Elektrik [Elektronik] (Electrical Engineering [Electronics]). Program ini telah disertai oleh pelajar-pelajar yang mempunyai semangat yang tinggi serta diiringi oleh seorang guru Bahasa Jerman, Amir Haikal Imran, bagi memastikan perjalanan program berjalan dengan teratur dan lancar.

Penglibatan dalam peperiksaan ini merupakan sebahagian daripada persediaan akademik dan profesional pelajar bagi menyokong pengajian serta latihan industri di bawah kerjasama Program Ijazah Dual bersama institusi rakan strategik di Jerman.

Peperiksaan Bahasa Jerman tahap B1 merangkumi empat komponen utama, iaitu membaca (Lesen), menulis (Schreiben), mendengar (Hören) dan bertutur (Sprechen). Tahap B1 ini menandakan keupayaan pelajar untuk berkomunikasi secara berdikari dalam situasi harian, akademik serta persekitaran kerja asas, khususnya dalam konteks antarabangsa.

Usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh para pelajar UMPSA dalam menguasai bahasa asing ini mencerminkan kesungguhan mereka untuk bersaing di peringkat global. Selain meningkatkan kebolehpasaran graduan, penguasaan Bahasa Jerman turut membantu pelajar menyesuaikan diri dengan budaya, sistem pendidikan dan persekitaran kerja di Jerman dengan lebih berkesan.

Pihak universiti berharap pencapaian ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus mempertingkatkan kemahiran bahasa dan profesionalisme, selaras dengan aspirasi UMPSA dalam melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

 

Disediakan oleh: Amir Haikal Imran