Official Website    

LANGKAH LINCAH, JIWA GAGAH: PBM UMPSA SEMARAKKAN GAYA HIDUP AKTIF

PEKAN, 25 Jun 2025 — Seramai lebih 20 orang staf dari Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyertai satu aktiviti santai berjalan kaki secara laju di tepi tasik kampus Pekan baru-baru ini. 

Aktiviti ini merupakan inisiatif Pusat Bahasa Moden (PBM) untuk menyemai amalan gaya hidup sihat dalam kalangan staf PBM. Para peserta terlebih dahulu melakukan senaman regangan ringan secara berkumpulan sebelum berjalan kaki dan dikendalikan oleh Encik Shamsul Harbi. Peserta memulakan perjalanan dari kawasan berhampiran bangunan fakulti sebelum menyusuri trek pejalan kaki yang mengelilingi tasik utama universiti. Sepanjang perjalanan, suasana yang damai dan pemandangan tasik yang memukau memberikan pengalaman yang menyenangkan, sekali gus menyuntik ketenangan dan semangat positif kepada para peserta. 

Selain itu, berjalan kaki secara cepat atau dengan kadar lebih laju dari biasa bukan sahaja mudah malah tidak memerlukan peralatan khas dan terbukti secara saintifik dapat membantu mengawal berat badan, memperbaiki kesihatan jantung, dan meningkatkan daya tahan fizikal serta kesihatan mental. Aktiviti berjalan dengan laju juga mampu merangsang fungsi otak, menurunkan tahap stres, dan memberi kesan positif terhadap kesejahteraan menyeluruh seorang staf. Ketua Unit Sukan and Rekreasi, Syahrina Ahmad, menyatakan bahawa aktiviti seumpama ini adalah sebahagian daripada inisiatif kesihatan dan kesejahteraan yang digalakkan di peringkat pusat. 

“Kami percaya bahawa kesihatan mental dan fizikal memainkan peranan penting dalam produktiviti kerja. Melalui aktiviti santai seperti ini, staf berpeluang untuk berehat seketika daripada tugasan harian dan pada masa yang sama mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja,” ujar beliau. 

Aktiviti ini juga dilihat selaras dengan usaha universiti dalam memupuk budaya kerja yang seimbang serta menyokong amalan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti kampus. Usaha ini turut mendokong aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui gaya hidup sihat, keseimbangan kerja dan kehidupan, serta pembentukan komuniti yang harmoni dan berdaya tahan. 

Unit Sukan dan Rekreasi PBM bercadang untuk menjadikan aktiviti seperti ini sebagai program berkala, dengan pelbagai variasi seperti berkayak, mendaki bukit dan sesi kecergasan ringan lain yang boleh disertai oleh semua warga pusat. 

Langkah diatur menyusur tasik, 
Hati tenang jiwa pun lapang. 
Sihat tubuh badan ceria senyuman terusik, 
PBM cemerlang, MADANI gemilang 

Berjalan laju tubuh cergas, 
Langkah diatur penuh bergaya. 
Kerja berpasukan makin teguh kukuh, 
PBM sihat, prestasi turut membara. 

Video sepanjang program ini juga boleh ditonton pada link Tiktok PBM: https://vt.tiktok.com/ZSBkdAY1W/ 

Disediakan oleh: Amir Haikal Imran Bin Ahmad Asha’ari & Jamilah Bebe Mohamad