BENGKEL PENULISAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DI PJIM
PEKAN, 23 Januari 2025 – Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), UMPSA telah menganjurkan Bengkel Memartabatkan Bahasa Melayu melalui penulisan laporan, berita dan karya kreatif dengan matlamat memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu dalam pelbagai medium khususnya menerusi penulisan. Bengkel ini disampaikan oleh Jamilah Bebe Binti Mohamad, guru bahasa Melayu Pusat Bahasa Moden (PBM).
Melalui bengkel ini, para staf PJIM diberikan pendedahan tentang kaedah penulisan yang berkesan menggunakan Bahasa Melayu, khususnya dalam menghasilkan penulisan berita, laporan, dan karya kreatif. Penekanan diberikan kepada penghasilan bahan penulisan yang berkaitan serta relevan dengan program-program yang dianjurkan oleh jabatan ini.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu mereka memahami aspek teknikal dalam penulisan, malah meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penggunaan Bahasa Melayu yang betul dan profesional dalam komunikasi rasmi.
Selain itu, bengkel ini turut menyediakan ruang kepada staf PJIM untuk mengembangkan kemahiran penulisan mereka dalam suasana yang interaktif dan menyeronokkan. Para peserta bukan sahaja menulis untuk melaporkan program mereka tetapi ini merupakan langkah awal melatih diri mereka menjadi seorang penulis.
Pelbagai teknik, idea dan tatacara penulisan dapat dikongsi bersama sepanjang bengkel ini. Usaha ini diharapkan dapat memperkasakan pengetahuan di kalangan staf PJIM untuk menghasilkan bahan penulisan yang lebih bermutu dan turut menyumbang kepada usaha memartabatkan Bahasa Melayu.
Sebagai penutup, penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen PJIM dan PBM sendiri dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Diharapkan para peserta dapat memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh untuk menghasilkan karya berkualiti tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan budaya penulisan yang cemerlang dalam kalangan warga organisasi.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada para peserta yang terlibat kerana berjaya menghasilkan empat penulisan seusai menyertai bengkel ini. Dua daripada artikel tersebut telah berjaya diterbitkan dalam UMPSA News. Marilah kita sama-sama meneruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu.
Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad